Zahnita Wilson diminta buat ujian air kencing
KUANTAN - Bekas pelakon dan peragawati terkenal, Zahnita Wilson mendedahkan diminta menjalani ujian saringan air kencing oleh pihak berkuasa sebelum mendapatkan khidmat polis pengiring untuk menjemput dua anaknya di rumah suaminya pada Rabu.
Zahnita atau Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, berkata, permintaan itu dipersetujui, dan hasil saringan adalah negatif daripada sebarang penggunaan bahan terlarang.
“Saya ada perintah mahkamah dan boleh dapatkan pengiring (polis), tapi proses dan permintaan tersebut tidak berjalan lancar.
"Mereka (pihak berkuasa) minta saya jalani ujian urin. Alhamdulillah, ALLAH Maha Besar, keputusan urin negatif.
"Saya dapat hak jagaan terhadap dua anak perempuan semalam (Rabu) dan seorang lagi yang sulung masih dengan ayahnya dan masih menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya ketika ditemui di sebuah pasaraya di Bandaraya Kuantan pada Khamis.
Sebelum itu, Zahnita Wilson, meluahkan rasa lega selepas berjaya memperoleh perintah sementara hak penjagaan anak-anaknya daripada suaminya, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor.
Keputusan yang diumumkan mahkamah itu memberi seribu satu kegembiraan buat Zahnita, atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussien Wilson, apabila hampir dua minggu tidak menemui tiga anaknya iaitu, Zahrafeena,18, Zasharayna,10, Zahlia,7.
Menurutnya, tempoh dua minggu itu merupakan ujian berat buatnya, sebelum keputusan mahkamah dikeluarkan 6 Disember lalu.
"Dulu, saya berpisah dengan anak hampir empat bulan, kali ini dua minggu dengan tiga anak.
"Tempoh yang dilalui itu memang mencabar, terutama apabila perlu menyerahkan mereka kembali kepada ayahnya setiap kali selepas berjumpa," luahnya dengan nada gembira.
Zahnita menambah perjalanan untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anaknya memerlukan kesabaran yang tinggi kerana proses undang-undang memakan masa.
"Saya tahu, untuk dapat anak-anak saya kena sabar kerana keadaan tidak berlalu sekelip mata. Tapi kini saya lega hak jagaan sementara mereka berpihak kepada saya," katanya.
Menurut Zahnita, mahkamah turut memberikan hak kepada suaminya untuk bertemu anak-anak pada hujung minggu selama dua jam.
Kes ini akan didengar semula di mahkamah pada 3 Januari tahun hadapan untuk keputusan hak penjagaan sepenuhnya.
Isu perkahwinan Zahnita mula mendapat perhatian ramai selepas dia memuat naik gambar matanya yang lebam di Instagram baru-baru ini.
Dalam hantaran itu, Zahnita menceritakan pengalamannya hidup seperti seorang hamba sepanjang bersama suami, yang menimbulkan spekulasi berlakunya keganasan rumah tangga.
Pada 5 Disember lalu, Abd Zackery Ghouse didakwa di mahkamah atas dua tuduhan, iaitu mendatangkan kecederaan terhadap Zahnita dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Kuantan telah membenarkan permohonan Zahnita untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, yang bertujuan melindunginya daripada ancaman atau gangguan.
Pasangan ini yang berkahwin pada 2005 mempunyai empat anak iaitu Zahrafeena, Zasharayna, Zahlia, dan Zayden.
Zahnita pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 2013 namun menarik semula permohonan tersebut pada 2015.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!