Kuasai kejayaan dunia, akhirat dengan konsep mabrur
SHAH ALAM - Penerapan konsep mabrur iaitu perbuatan baik yang diterima oleh ALLAH SWT merupakan kunci utama kepada kejayaan dan kebahagian dalam kehidupan di dunia ini.
Pengasas Gerakan Indonesia Mabrur dan Greatness Institute, Dr Legisan Samtafsir berkata, mabrur bukan hanya dalam ibadah haji tetapi juga dalam kehidupan seharian.
"Jika segalanya menjadi mabrur maka syarikat akan turut mabrur, produk mabrur, negara mabrur, malah pengurus dan warga kerja juga mabrur.
“Mabrur adalah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tertinggi yang harus kita capai dan itu adalah jaminan Rasulullah SAW. Dengan mabrur, insya-ALLAH kita akan mencapai puncak kejayaan iaitu masuk syurga.
“Konsep mabrur membawa erti kebaikan yang diwujudkan dalam bentuk manfaat kepada kehidupan. Prinsipnya perlu bersandar kepada kebenaran dan keadilan, yang akan memacu kemajuan, keharmonian serta kualiti hidup lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Power of Mabrur: Meraih Puncak Kebaikan buat julung kalinya di Kumpulan Karangkraf baru-baru ini.
Program yang dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama Greatness Training & Consultand itu bertujuan membuka rahsia mabrur sebagai kunci kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan.
Seramai 50 peserta terdiri daripada pihak pengurusan Kumpulan Karangkraf, WUIF, Rumah Ngaji dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) telah menyertai program tersebut.
Program itu dilihat sebagai usaha sokongan kepada pihak Kumpulan Karangkraf dan WUIF dalam membarakan jiwa dan mencorak minda dengan nilai kebaikan.
Dengan nilai mabrur, syarikat tersebut boleh menjadi inspirasi besar kepada umat Islam untuk mendapatkan kebaikan di dunia dan di akhirat.
Selain mendapat pengisian kerohanian dan motivasi diri, para peserta mengikuti simulasi ibadah haji yang dijalankan dengan tertib bermula dengan niat ihram, memakai ihram, wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah, bermalam di Mina, melontar ketiga-tiga jamrah, tawaf di Kaabar, sai dari Safa dan Marwah dan tahalul.
Tambah Legisan, mabrur adalah puncak kebaikan yang menjadi cita-cita ALLAH SWT untuk manusia. ALLAH menyuruh umat manusia berdoa untuk mendapatkan kebaikan di dunia dan akhirat.
Tambah beliau, kebahagiaan sebenarnya adalah bonus daripada ALLAH setelah umat Islam melaksanakan kebaikan.
Justeru, program Power of Mabrur bersesuaian untuk bakal haji, alumni haji, penggerak haji, pemimpin, warga kerja, pelajar dan orang awam.
"Memaknai ibadah haji dapat membina diri, keluarga, masyarakat, organisasi dan negara yang lebih baik.
"Haji bukan hanya perjalanan fizikal tetapi juga transformasi rohani. Latihan ini membantu kita memahami erti sebenar haji walaupun belum berpeluang menunaikannya kerana giliran terlalu lama atau kekangan kewangan," ujar beliau.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, program Power of Mabrur memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang kepentingan ibadah haji dan umrah.
“Program ini sangat bermanfaat kerana bukan sahaja menyediakan panduan untuk mempersiapkan diri secara fizikal, mental, dan rohani bagi melaksanakan ibadah haji dengan sempurna, tetapi juga memberi kesedaran mendalam tentang nilai kebaikan.
"Ia membentuk kerangka pemikiran untuk sentiasa berbuat kebaikan kepada diri sendiri, keluarga, organisasi, masyarakat, dan negara tanpa henti, dengan harapan memperoleh ganjaran kebaikan yang abadi di akhirat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim berkata, program dua hari tersebut memberikan pengajaran bermakna tentang erti dan tujuan kehidupan.
“Saya menyedari betapa pentingnya memikul tanggungjawab, bukan hanya sebagai ketua keluarga tetapi juga sebagai ketua syarikat. Nilai-nilai kebaikan mesti diterapkan dalam setiap aspek kehidupan.
“Ini bermakna, tanggungjawab kita bukan sekadar menjadi hamba ALLAH, tetapi juga melaksanakan peranan sebagai khalifah di muka bumi dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Bagi Pengarah Eksekutif Kumpulan Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi menyifatkan berkhidmat di syarikat itu sebagai usaha membina dan memperkukuhkan legasi yang bermakna.
“Kita memerlukan individu yang komited untuk menjadi pejuang dalam meneruskan legasi ini, membawa kehidupan yang lebih baik untuk semua.
“Sejadah kita bukan hanya untuk beribadah secara peribadi, tetapi ibarat sejadah panjang yang merangkumi usaha kolektif menuju syurga,” ujarnya penuh makna.
Sekretariat Grup Buku, Latipah Khamis beranggapan ibadah haji dan kehidupan adalah dua perkara berbeza dan selepas mengikuti Power of Mabrur, beliau menyedari bahawa ibadah tersebut membawa pemaknaan kehidupan seterusnya yang lebih baik.
“Sebenarnya saya masih terkesan dengan kehilangan allahyarhamah ibu pada Oktober lalu. Saya perlu ‘melepaskan’ pemergiannya dan mengutamakan kasih sayang ALLAH SWT.”
Ahli Kehormat Wanita Inspirasi Negara, Datin Zaleha Omar menyarankan para ibu bapa agar segera mendaftarkan akaun simpanan Tabung Haji untuk anak baru lahir kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk menunaikan haji pada usia muda.
“Saya berharap Power of Mabrur boleh disebarluaskan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya ibadah Haji yang membawa transformasi diri sebagai khalifah rahmatan lil alamin,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai program tersebut, boleh didapati dengan melayari Facebook QuranHour.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!