Empat pemain Sabah dipanggil pulang - FAM

Hamidin (kanan) mencuba jam tangan edisi terhad kedua CAT X Harimau Malaya selepas merasmikan jam tangan tersebut di Wisma FAM hari ini. Turut sama, Pengurus Operasi Time Network Limited, Bernard Wu (kiri). Foto Bernama
Hamidin (kanan) mencuba jam tangan edisi terhad kedua CAT X Harimau Malaya selepas merasmikan jam tangan tersebut di Wisma FAM hari ini. Turut sama, Pengurus Operasi Time Network Limited, Bernard Wu (kiri). Foto Bernama
A
A
A

KESEMUA empat pemain Sabah tidak akan menyertai skuad Harimau Malaya untuk ke Bangkok, Thailand bagi aksi ketiga Kumpulan A Piala ASEAN 2024 menentang Thailand, Sabtu ini.

Perkembangan terkini itu dimaklumkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman yang berkata, bagaimanapun kesemua pemain lain telah berangkat ke Thailand pagi tadi, bagi beraksi di piala berprestij itu.

"Pemain sudah pergi pagi tadi. Ada beberapa pemain yang tak ikut, empat pemain dari Sabah. Selangor semua pergi, dari Pulau Pinang juga Mohamaed Syamer Kutty Abba dan Muhammad Adib Abdul Ra'op ada.

"Situasi pemain perlu mengikuti kelab itu kita faham, sebab kelab sudah bantu kita, jadi kita bantu juga kelab, itu sahaja. Saya harapkan Pau Marti Vicente akan buat terbaik di Thailand," katanya pada Majlis Pelancaran Jam Tangan Edisi Terhad Kedua Cat X Harimau Malaya.

Bagi aksi kedua peringkat Kumpulan A Piala ASEAN 2024, empat pemain Sabah FC yang menyertai skuad Harimau Malaya ialah Dominic Tan, Daniel Ting, Stuart Wilkin dan Darren Lok.

Pasukan kebangsaan akan bertemu Thailand di Bangkok pada perlawanan ketiga mereka dalam Kumpulan A Piala ASEAN 2024 di Stadium Nasional Rajamangala, Sabtu ini.

Noor Azman berkata, FAM kekal meletakkan sasaran skuad kendalian Vicente untuk layak ke final bagi edisi kali ini.

"Sasaran kita sudah semestinya untuk ke final. Sasaran kita kalau kita tengok setakat tinggi mana kita boleh pergi, tetapi sasaran kita ke final.

Artikel Berkaitan:

"Tapi saya yakin dengan kemampuan Pau Marti dia boleh membimbing, dan dia boleh gabungkan pemain muda dan pemain senior," katanya.

Malaysia, juara edisi 2010 kini mendahului Kumpulan A dengan mengumpul empat mata, satu mata di depan Thailand dan Singapura yang masing-masing baru bermain satu perlawanan di posisi kedua dan ketiga, diikuti Kemboja keempat (satu mata) dan Timor-Leste tercorot tanpa sebarang mata.

Terdahulu pada majlis hari ini, FAM melancarkan jam tangan bersama syarikat pengedar rasmi jam tangan Caterpillar (CAT), Marco Worldwide (M) Sdn Bhd bagi edisi kedua. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!