Perjuangan Rumah Ngaji Negeri Sembilan ajak masyarakat belajar al-Quran
AMPANGAN – Rumah Ngaji Negeri Sembilan terus memainkan peranan penting untuk mengajak masyarakat mencapai misi MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah pada 1500H.
Penyelarasnya, Gharizah Hashim berkata, para penggerak Rumah Ngaji di Negeri Sembilan terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk golongan profesional, asatizah, suri rumah, asnaf dan usahawan.
Jelas beliau, melalui platform Rumah Ngaji, kini ramai yang semakin celik al-Quran.
"Pendekatan tadabbur membantu kefahaman pelajar untuk memahami dan menghayati Kalam ALLAH, seterusnya mempraktikkan nilai-nilai mulia dalam kehidupan seharian.
"Selain kelas mengaji, penggerak Rumah Ngaji menganjurkan kempen #QuranHour seperti World #QuranHour, Arafah #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan World #QuranConvention," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Menurutnya, Rumah Ngaji sebagai agen perubahan memainkan peranan penting dalam mengajak orang ramai untuk mendekati al-Quran, seterusnya mencapai misi MengQuran Bangsa Mengikhlaskan Ummah pada 1500H.
Tambahnya, ia merupakan usaha perjuangan dalam menggelombangkan al-Quran ke seluruh dunia
Seramai 30 penggerak Rumah Ngaji Negeri Sembilan menyertai Majlis Taklimat Hala Tuju Rumah Ngaji Negeri Sembilan & Majlis Silaturrahim Muhabbah di Rumah Ngaji @ Haji Sidek, Taman Pinggiran Golf, di sini, 10 Disember lalu.
Program yang julung kali diadakan itu bertujuan mengeratkan silaturrahim dan merapatkan saf dalam membawa gerakan berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.
Dalam pada itu, Gharizah berkata, aktiviti perjumpaan tersebut amat penting dalam menetapkan hala tuju Rumah Ngaji yang dicetuskan oleh Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub.
"Seramai 70 orang yang mendaftar Rumah Ngaji, namun kebanyakan mereka tidak aktif. Ada juga kalangan mereka berasa terpinggir dan tersisih apabila tidak dapat maklumat sepenuhnya daripada pihak Rumah Ngaji Negeri Sembilan.
“Semua penggerak Rumah Ngaji perlu bergabung bersama pihak penyelaras Rumah Ngaji agar dapat mengikuti perkembangan maklumat semasa dan seiring sejalan dengan apa dibawakan oleh WUIF,” jelas beliau.
Dalam perjumpaan tersebut, sebanyak RM700 berjaya dikumpul melalui kutipan derma kilat bagi mengurangkan beban Penggerak Rumah Ngaji @ Ummmul Mukminin Syafiyah, Azilawati Mat Nuar yang mengalami kebakaran bengkel makanan sejuk beku di Kampung Gebok, Pajam, Mantin pada Oktober lalu.
Gharizah akui terdapat kekangan kewangan dalam mendanai Rumah Ngaji masing-masing, namun hasil sumbangan diri, keluarga dan rakan seperjuangan banyak membantu perjalanan Rumah Ngaji di negeri ini.
Beliau berharap segala sumbangan daripada para penginfak dan penyumbang diberi ganjaran berkali ganda oleh ALLAH SWT di akhirat.
Menurut beliau, rata-rata ahli Rumah Ngaji juga merupakan penonton setia My #QuranTime, sejam sehari yang bersiaran di beberapa stesen televsyen (TV AlHijrah, Astro Oasis dan TV9) dan media sosial My #QuranTime.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff, berkongsi hala tuju WUIF yang kini melangkah ke dekad kedua. Fokus utama WUIF tertumpu kepada bidang penyelidikan dan pembangunan al-Quran dan Sunnah bagi menyediakan kandungan yang lebih mantap untuk kempen #QuranHour.
Menurutnya, pada tahun hadapan, Surah al-Saff dipilih sebagai surah utama dengan tema #SavingTheUmmah. Surah ke-61 ini menekankan pentingnya kesatuan umat dalam memperjuangkan agama ALLAH, menyeru kita untuk berkorban jiwa dan harta demi meraih kejayaan di akhirat.
"Melalui gelombang al-Quran ini, nilai-nilai utama seperti Quran, Solat, dan Infak (QSI) diterapkan dalam setiap individu Muslim. Berpandukan ayat 14 dalam Surah al-Saff, mereka yang membela agama ALLAH digelar sebagai al-Hawariyyun, iaitu penyokong setia yang meneruskan legasi perjuangan dan meraih kejayaan di dunia serta akhirat.
"Selain itu, bagi membentuk insan yang berakhlak mulia, pemilihan makanan yang halal dan baik turut menjadi keutamaan. Hal ini merujuk kepada kisah pemuda al-Kahf yang mencari makanan terbaik selepas tidur selama 309 tahun, sebagaimana dinyatakan dalam ayat 19 Surah al-Kahf," ujarnya.
Marhaini turut menyuarakan harapan agar semua penggerak Rumah Ngaji bersatu padu ibarat susunan bangunan yang kukuh, seperti saf yang tersusun rapi, demi melahirkan generasi al-Quran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!