7 pemancing selamatkan nelayan Indonesia terima penghargaan

Penerima sijil penghargaan khas daripada Maritim Malaysia bergambar kenangan sempena majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Putrajaya pada Khamis.
Penerima sijil penghargaan khas daripada Maritim Malaysia bergambar kenangan sempena majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Putrajaya pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak tujuh individu dan dua wakil pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima sijil penghargaan khas daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Maritim Malaysia dalam satu kenyataannya berkata, sijil tersebut diberikan sebagai tanda penghargaan atas tindakan dan bantuan menyelamat empat nelayan warga Indonesia.

Kata kenyataan itu, kumpulan nelayan tersebut hanyut dan terapung di perairan Pulau Jarak, Perak pada 20 November lalu.

"Keberanian dan tindakan pantas yang dihulurkan telah berjaya menyelamatkan nyawa mangsa yang dalam kecemasan.

"Malah dengan tindakan tersebut juga dapat mengurangkan bilangan kes kehilangan nyawa di laut," kata kenyataan itu pada Khamis.

Individu yang menerima sijil penghargaan khas itu ialah Muhammad Afiq Sazali, Luqman Al Hakim Mohd Sabri, Mohamad Khushairi Mohamad Zuki, Muhammad Afif Abdul Rahman, Syed Fernarsh Syed Badlishah, Muhammad Syukri Yuhanda dan Ismail Ibrahim.

Sementara dua pihak TLDM yang menerima sijil penghargaan khas Maritim Malaysia adalah daripada Stesen Jarak TLDM dan KD Mahamiru.

Kata kenyataan itu lagi, bersempena peluncuran kempen kesedaran keselamatan Monsun Timur Laut (MTL), penyerahan sijil penghargaan tersebut bersesuaian menghargai jasa dan sumbangan diberikan oleh komuniti maritim.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sumbangan dalam memberi bantuan awal terhadap sebarang insiden kecemasan di laut merupakan satu contoh teladan baik kepada seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, ia jelas mempamerkan semangat tolong-menolong dan saling membantu tanpa mengira latar belakang mangsa.

"Maritim Malaysia mengharapkan agar tindakan dan bantuan seumpama itu akan memberi impak besar kepada masyarakat.

"Selain itu, ia dapat memperkukuhkan semangat perpaduan dan keprihatinan terutama dalam kalangan komuniti maritim," ujarnya.

Dalam kejadian pada 20 November lalu, kumpulan pemancing tempatan ternampak kesemua mangsa sedang melambai-lambai ke arah mereka untuk meminta pertolongan.

Susulan itu, mereka yang sedang memancing dengan segera membawa bot yang dinaiki mendekati keempat-empat individu itu.

Difahamkan, bot yang dinaiki keempat-empat nelayan warga Indonesia itu karam selepas dilanggar sebuah kapal di sekitar perairan negara jiran itu.

Lebih mengejutkan, keempat-empat warga negara jiran itu sudah berada di laut selama empat hari tanpa makan dan minum.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!