Peguam Negara perlu jelas alasan tarik balik cabar pembebasan Ahmad Zahid - MCW
SHAH ALAM - Peguam Negara digesa memberi penjelasan mengenai alasan menarik balik semua rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkait tuduhan rasuah berhubung Visa Luar Negara (VLN).
Presiden Pemerhati Rasuah Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, penjelasan lebih komprehensif itu penting demi memulihkan dan mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Ini kerana pihaknya berpandangan, sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan awam mesti dilaksanakan dengan penuh integriti dan ketelusan.
"MCW ingin menyuarakan kebimbangan mengenai keputusan pihak pendakwa raya menarik balik rayuan terhadap kes yang melibatkan Datuk seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam skandal VLN.
"Walaupun keputusan ini adalah budi bicara Peguam Negara yang didasarkan kepada bukti dan fakta, ia tetap menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat tentang integriti dan ketelusan sistem keadilan negara.
"Sistem keadilan yang kukuh dan telus adalah asas kepada negara yang bebas rasuah. MCW akan terus memperjuangkan prinsip keadilan, ketelusan, dan akauntabiliti dalam semua lapisan sistem pemerintahan," katanya dalam kenyataan.
Mahkamah Rayuan pada Khamis mengekalkan keputusan melepaskan dan membebaskan Ahmad Zahid atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung Sistem VLN.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik semua rayuan terhadap kes ini.
Mengulas lanjut, Jais berkata, keputusan untuk tidak meneruskan rayuan memerlukan alasan yang lebih telus dan menyeluruh bagi mengelakkan spekulasi serta memastikan rakyat memahami asas keputusan tersebut.
Atas dasar itu katanya, perlu untuk Peguam Negara dan Jabatan Peguam Negara memberi penjelasan yang lebih terperinci berhubung keputusan yang dibuat tersebut.
"Keputusan mahkamah untuk membatalkan rayuan ini adalah berdasarkan penarikan balik oleh pendakwa raya, namun rakyat sering melihat sistem perundangan sebagai satu entiti yang bersepadu.
"Ketidaktelusan dalam tindakan pendakwaan, terutama dalam kes berprofil tinggi, boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap kebebasan institusi kehakiman dan merosakkan kepercayaan awam," katanya.
ends
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!