SPRM peroleh perintah larang pihak tertentu akses harta 1MDB
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh perintah larangan bagi melarang pihak tertentu berurusan dengan harta melibatkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah AS$340 juta (RM1.5 bilion) di luar negara.
SPRM menerusi kenyataan memaklumkan perintah itu dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melibatkan dana berkaitan 1MDB yang sekarang ini dalam simpanan Court Fund Office, United Kingdom.
"Perintah larangan ini diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh pada 10 Disember lalu.
"Ia dikeluarkan selepas mahkamah berpuas hati dengan bukti dikemukakan pihak pendakwaan yang menunjukkan bahawa dana berkenaan mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Menurut kenyataan itu, perintah berkenaan turut menghalang Ketua Pegawai Eksekutif Petrosaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid daripada mengakses dana berkenaan.
"Perintah Larangan ini dibuat di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLTFPUAA 2001).
"Ia diputuskan berdasarkan permohonan yang difailkan oleh pihak pendakwaan pada 2020 lalu," katanya.
Sebelum ini, pada 13 Mac lalu, SPRM juga berjaya mendapatkan Perintah Larangan ke atas 41 barangan kemas di Hong Kong bernilai 9,417,842.60 paun Sterling milik Tarek Obaid.
Media sebelum ini melaporkan Datuk Seri Najib Tun Razak memberi keterangan membela diri atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah sebanyak RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama pada Selasa lalu.
Pada 30 Oktober lepas, Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri atas kesemua 25 pertuduhan setelah memutuskan pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!