PBB minta Israel benarkan operasi UNRWA
HAMILTON - Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu meluluskan resolusi yang mengesahkan sokongan terhadap Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) serta menyeru Israel memastikan operasi agensi itu berjalan tanpa halangan.
Resolusi yang menekankan keperluan mendesak bantuan kemanusiaan itu diluluskan dengan 159 undi menyokong, sembilan menentang dan 11 berkecuali, lapor Agensi Anadolu.
Dikemukakan oleh misi Palestin ke PBB, resolusi itu "menegaskan sokongan penuhnya terhadap mandat UNRWA di semua wilayah operasinya iaitu Jordan, Lubnan, Syria, dan Wilayah Palestin yang Diduduki."
Resolusi itu turut menyuarakan kebimbangan serius terhadap gangguan tugas UNRWA, khususnya di Gaza dan "mengecam pelanggaran keutuhan premis PBB," sambil menyeru semua pihak untuk menghormati keistimewaan dan kekebalan UNRWA.
Ia juga mengecam undang-undang yang diluluskan oleh Knesset Israel pada 28 Oktober 2024 dan mendesak Israel supaya bertindak selaras dengan undang-undang antarabangsa serta membenarkan dan memudahkan bantuan kemanusiaan penuh, pantas, selamat dan tanpa sekatan dalam semua bentuk ke seluruh Semenanjung Gaza.
Dalam pada itu, resolusi berkenaan mengiktiraf peranan penting UNRWA sebagai tulang belakang kepada semua tindak balas kemanusiaan di Gaza dan menegaskan bahawa "tiada organisasi lain yang mampu menggantikan atau menyaingi kapasiti serta mandat UNRWA dalam berkhidmat untuk pelarian Palestin."
Ia turut memberi amaran terhadap sebarang cubaan melemahkan atau mengurangkan operasi agensi itu, sambil menekankan bahawa tindakan sedemikian akan membawa akibat kemanusiaan yang buruk bagi jutaan pelarian di negara itu.
Resolusi itu juga menyeru negara anggota PBB untuk memberi sokongan kewangan kepada UNRWA, termasuk sumbangan sukarela, perjanjian pembiayaan dan meningkatkan sumbangan.
Sambil mengiktiraf kerja-kerja UNRWA selama beberapa dekad, resolusi itu menyifatkan agensi berkenaan sebagai "tidak boleh diganti" dan menekankan peranannya dalam menyumbang kepada kestabilan serantau.
Selain itu, resolusi berkenaan turut meminta Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menilai kerugian yang ditanggung oleh UNRWA sepanjang konflik dan menegaskan keperluan pampasan selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Guterres diminta mengemukakan laporan komprehensif mengenai pelaksanaan resolusi ini dalam tempoh 60 hari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!