'Mahukah Wan Azizah, Anthony dan Mohamad pikul tanggungjawab bersama?' - Tun M

Tun Mahathir
Tun Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berasa hairan apabila beberapa menteri dalam Kabinetnya pada 2018 yang sebelum ini berdiam diri, tampil bersuara dan seolah-olah mengelak daripada bertanggungjawab.

Dr Mahathir mendakwa, pemimpin yang terlibat mahu beliau bertanggungjawab sepenuhnya dalam isu Batu Puteh.

Sedangkan katanya, tidak timbul sama ada beliau menerima tanggungjawab ke atas isu tersebut memandangkan negarawan itu ialah Ketua Kerajaan ketika itu.

“Jika mereka memilih berdiam diri atau tidak menyatakan rasa tidak bersetuju, maka ia diterima sebagai mereka bersetuju dengan apa yang dimaklum atau dibentang.

“Persoalannya adakah mereka mahu memikul tanggungjawab sebagai satu tanggungjawab kolektif apabila menganggotai kabinet?

“Jika tidak, maka mereka telah tidak melaksanakan amanah yang diberikan semata-mata kerana tidak mahu beri pendapat kepada apa yang dimaklumkan di dalam mesyuarat kabinet,” katanya menerusi kenyataan yang diedarkan peguamnya, Rafique Rashid pada Khamis.

Beliau dipercayai merujuk kepada kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Dalam kenyataan itu, mereka memaklumkan keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran berhubung isu Pulau Batu Puteh dibuat pada 21 Mei 2018 oleh Dr Mahathir Mohamad sendiri secara bertulis kepada peguam cara negara tanpa merujuk Jemaah Menteri terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Jelas Dr Mahathir, di dalam mesyuarat kabinet, diminitkan bahawa kesemua anggota termasuk Wan Azizah, Anthony dan Mohamad bersetuju dengan pandangan dan maklumannya yang memperincikan terhadap isu Batu Puteh.

Justeru, beliau berasa hairan apabila ketiga-tiga pemimpin itu yang sebelum ini tidak berkata apa-apa, namun bertindak sebaliknya apabila beliau memaklumkan perkara sebenar, seolah-olah mengelak dan mengalih daripada mengambil tanggungjawab.

“Terima kasih di atas pencerahan yang diberi oleh beberapa menteri yang menjadi anggota kabinet semasa saya menjadi Perdana Menteri kali kedua.

“Cuma yang saya agak hairan ialah alasan yang diberi bahawa mereka tidak memberi pendapat atau pandangan mengenai isu Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan kerana saya cuma maklum semasa mesyuarat kabinet.

“Apakah saya perlu beritahu bahawa mereka perlu beri pendapat atau pandangan, baru mereka akan berbuat demikian. Keduanya, jika pandangan saya terhadap isu tersebut salah atau tidak dipersetujui, mereka tidak akan bangkang atau beri pendapat kerana saya hanya maklum?” soalnya.

Tambah Dr Mahathir, maklum itu adalah halangan kepada sebarang perdebatan, pemberian pendapat mahupun menyatakan persetujuan atau sebaliknya.

“Tidakkah mereka tahu bahawa sebarang apa perkara yang dibangkit, dimaklum dan ditimbulkan memerlukan setiap anggota untuk memberi perhatian. Jika ada pandangan yang perlu diutarakan, seharusnya dilakukan semasa mesyuarat tersebut,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!