Skop perbincangan bidang kritikal diperluas - KRPPM Pendanaan Politik
KUALA LUMPUR - Kumpulan Rentas Parti Parlimen (KRPPM) mengenai Pendanaan Politik memperluas skop perbincangan merangkumi bidang kritikal tambahan demi memastikan demokrasi yang lebih berfungsi dan persaingan politik yang lebih adil.
Pengerusinya, Wong Chen berkata, perkara itu diputuskan hasil mesyuarat kali ke-8 pada Khamis.
Menurutnya, bidang baharu berkenaan termasuk meningkatkan keupayaan Parlimen dengan tumpuan khusus kepada penggubalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.
"Selain itu, reformasi pendanaan kempen pilihan raya termasuk pindaan yang diperlukan terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya turut dibincangkan.
"KRPPM mengenai Pendanaan Politik turut memperkukuh mekanisme pengisytiharan harta dan memperbaiki rangka kerja peraturan untuk parti politik.
"Perluasan skop ini selari dengan objektif penubuhan KRPPM, iaitu untuk menyediakan platform bagi Ahli Parlimen,Senator, organisasi masyarakat sivil (CSO), dan pakar untuk berbincang secara terperinci tentang penambahbaikan tadbir urus pendanaan politik," katanya ketika sidang media di Parlimen pada Khamis.
Chen menambah, pada masa akan datang, pihaknya akan memberi tumpuan memperluaskan pendanaan sistem politik Malaysia secara keseluruhan dengan tumpuan terhadap reformasi struktur yang diperlukan untuk memperkukuh ketelusan dan kebertanggungjawaban.
"Dengan skop yang diperluaskan ini, KRPPM berharap akan menjadi platform untuk perbincangan kritikal yang menyokong kematangan jangka panjang demokrasi negara,"katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Aira Azhari berkata, KRPPM ini telah mencapai kemajuan ketara dalam meletakkan asas reformasi pendanaan politik.
Katanya, peluasan skop KRPPM menggariskan keperluan untuk pendekatan menyeluruh dalam pendanaan sistem politik Malaysia.
"Walaupun kemajuan telah dicapai dalam Rang Undang-Undang Pendanaan Politik, adalah penting untuk kerajaan menunaikan janji mereka.
"Reformasi yang lebih luas, termasuk pendanaan kempen pilihan raya, peruntukan pembangunan kawasan, dan pengisytiharan harta, adalah penting untuk membina semula kepercayaan rakyat terhadap institusi politik kita,"katanya.
Tegas beliau, KRPPM juga komitmen memperjuangkan penggubalan Rang Undang-Undang Pendanaan Politik seperti yang dijanjikan oleh kerajaan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.
"Pada masa yang sama, kami mengiktiraf kepentingan melaksanakan pembaharuan selari dalam bidang utama lain bagi mereformasikan sistem politik,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!