Bank Rakyat bakal anjur Muslimah Fest pada 20 hingga 22 Disember
BANK Rakyat bakal menganjurkan Muslimah Fest 2024 selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Disember 2024 bertempat di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC), Kuala Lumpur.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, festival tersebut bertujuan membantu membentuk sahsiah dan keperibadian unggul Muslimah.
Menurutnya, ia juga merupakan usaha institusi perbankan tersebut untuk menyokong sektor keusahawanan khususnya perniagaan wanita Islam di negara ini.
Dalam pada itu, Bank Rakyat turut menyasarkan 15,000 pengunjung dari sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang yang merancang untuk membuat persiapan menyambut Ramadan serta Aidilfitri dengan lebih awal.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa Bank Rakyat sentiasa berusaha dalam menjangkau fungsi institusi perbankan dalam menyediakan produk penyelesaian kewangan.
“Bank Rakyat turut mempromosikan gaya hidup muslimah secara holistik dengan mendukung perkembangan trend dan fesyen, gaya pemakaian serta keterampilan diri yang menepati syariat Islam.
“Melalui usaha ini, kami turut beraspirasi menjadi rakan perbankan strategik dalam memperkasa golongan usahawan wanita bagi membantu memperkembangkan lagi perniagaan mereka,” katanya pada Khamis.
Mengulas lanjut, menurut Bank Rakyat, program tersebut akan bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan sebanyak 70 jenama fesyen muslimah terkemuka tempatan akan diperkenalkan.
Jelasnya, pengunjung bakal disajikan dengan pertunjukan fesyen ‘Elegance Unveiled: The Hijab Runway by Bank Rakyat’ dan program tutorial solekan bersama Wardah Beauty selain berpeluang menyertai sesi ‘Life as Content Creator and Businesswoman’ serta forum ‘Santai Namun Sampai: Program Usahawan Bank Rakyat’.
Selain itu, Bank Rakyat akan memperkenalkan produk istimewa baharu iaitu ‘My First Credit Card-i’ sewaktu festival itu berlangsung.
“Kami turut menawarkan promosi diskaun istimewa sehingga 70 peratus dan orang ramai berpeluang membawa pulang hadiah eksklusif selain memenangi cabutan bertuah bernilai RM60,000 serta dapat menikmati pelbagai tawaran istimewa daripada rakan dagang Bank Rakyat.
“Antara produk yang akan diperkenalkan termasuklah produk kecantikan, tudung dan gaya hidup seperti Rockqueen by Ella, Alhumaira, Wardah Beauty, Fiziwoo dan banyak lagi.
“Selaras dengan saranan kerajaan untuk melahirkan masyarakat tanpa tunai, festival ini juga menggalakkan pengunjung dan usahawan menggunakan transaksi tanpa tunai dalam urusan perniagaan dengan menggunakan Kad Kredit-i, Kad Debit-i, i-MerchantRAKYAT serta platform QR DuitNow Bank Rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!