Kutipan dana TMESA masih dibuka kepada orang ramai
SHAH ALAM - Kutipan dana oleh Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud Besut Terengganu (TMESA) masih dibuka kepada orang ramai yang mahu memberikan sumbangan.
Pengerusi jawatankuasanya, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, jumlah terkumpul sehingga kini belum mencapai sasaran awal, namun sambutan yang diterima sudah memberangsangkan.
"Alhamdulillah, sambutan begitu menggalakkan dan dalam majlis itu nanti kita akan dihiburkan oleh dua artis legenda iaitu Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin.
"Jadi kepada mereka yang berhasrat untuk sertai makan malam dan memberi sumbangan dengan cara membeli meja atau menderma sahaja, boleh melakukan pembayaran menerusi akaun bank rasmi TMESA (Maybank - 12065010025128).
"Orang ramai boleh membeli tiket bagi majlis tersebut pada harga RM15,000, RM10,000, RM8,000, RM6,000 dan RM4,000 bagi satu meja serta tiket runcit bernilai RM400 untuk seorang turut dijual.
"Bagi tiket berharga RM100 juga disediakan untuk tontonan di galeri tanpa makan. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Nik Ahmad Tajuddin di talian 019-4524567," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Majlis Makan Malam Amal TMESA, Night of Love And Compassion bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 14 Disember ini dan dana yang terkumpul akan digunakan bagi tujuan pelaksanaan kegiatan kebajikan serta tajaan kepada pelajar memerlukan.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Najmuddin memaklumkan, tujuan pelaksanaan program seperti ini merupakan salah satu inisiatif pihaknya untuk menambah semula jumlah dana sekolah berkenaan yang semakin berkurangan.
Ujarnya, kali terakhir acara seperti itu diadakan adalah 20 tahun lalu dan berharap ia merupakan langkah terbaik dalam memastikan kebajikan pelajar di sekolah tersebut terus terjaga dan memudahkan urusan pembelajaran harian.
"Saya mewakili semua ahli TMESA mengharapkan agar lebih banyak penglibatan daripada syarikat luar atau badan bukan kerajaan (NGO) yang lain untuk terlibat dalam kutipan dana ini.
"Acara berkenaan akan berlangsung pada Sabtu ini, jadi masih ada peluang kepada mereka di luar sana untuk turut memberikan sumbangan demi keselesaan anak-anak pelajar kita di sekolah ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!