'Sanggupkah lakukan ini kepada Tun M?' - Hassan Karim

Hassan ketika membahaskan Laporan RCI mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Hassan ketika membahaskan Laporan RCI mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Dewan Rakyat pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli Parlimen kerajaan membantah syor yang dirumuskan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan agar laporan polis dibuat terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membolehkan siasatan jenayah dilakukan.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, perkara tersebut tidak sewajarnya dilaksanakan demi mengenang jasa Dr Mahathir kepada pembangunan negara.

Beliau turut bertanyakan sama ada Malaysia dapat memperoleh semula Pulau Batu Puteh yang sudah terlepas jika Dr Mahathir dihukum.

"Bila disyorkan buat laporan polis, ambil tindakan jenayah kepada Dr Mahathir dengan berusia hampir 100 tahun, keluar masuk IJN (Institut Jantung Negara).

"Sanggupkah kita buat ini kepada bekas perdana menteri kita? Tan Sri (Speaker) pun tahu saya bukan pentaksub Dr Mahathir, saya ialah pengkritik sejak saya muda lagi, pengkritik yang tegas tapi hendaklah kita berlaku adil.

"Kita bukan kalah semua. Kita kalah Batu Puteh tapi kedaulatan kepada Batuan Tengah berpihak kepada Malaysia. Ertinya kita bukan kalah semua.

"Saya minta kalau belum ada laporan polis dibuat, jangan buat laporan polis. Cukup-cukuplah. Ertinya, takkanlah langsung Tun M tak ada jasa dalam negara kita," katanya ketika membahaskan Laporan RCI mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sementara itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) dalam perbahasan sama juga tidak bersetuju dan menggesa agar sebarang usaha untuk menghukum Dr Mahathir dihentikan.

Artikel Berkaitan:

Syed Saddiq ketika membahaskan Laporan RCI mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Syed Saddiq ketika membahaskan Laporan RCI mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Dewan Rakyat pada Khamis.

"Hari ini mungkin berlaku pada Tun M tapi masa depan mungkin boleh berlaku kepada Datuk Seri Anwar (Ibrahim)...masa depan ia boleh berlaku kepada sesiapa pun.

"Kalau hari ini kecuaian boleh dijenayahkan, pada masa akan datang, setiap satu keputusan kerajaan lakukan boleh dijenayahkan dan disemak, akhirnya Malaysia akan jatuh, semua akan masuk penjara.

"Tidak ada kestabilan, politik balas dendam terus menerus dilakukan. Kita patut hentikan usaha ini," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!