Ringgit alami penurunan empat hari berturut-turut

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.4350/4395 berbanding dolar AS, daripada 4.4300/4355 ketika ditutup semalam. Gambar hiasan
Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.4350/4395 berbanding dolar AS, daripada 4.4300/4355 ketika ditutup semalam. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari keempat berturut-turut pada Khamis selepas Indeks Harga Pengguna (IHP) AS meningkat paling tinggi dalam tempoh tujuh bulan, walaupun ia seiring dengan unjuran.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.4350/4395 berbanding dolar AS, daripada 4.4300/4355 ketika ditutup semalam.

IHP AS bagi November meningkat 2.7 peratus, lebih tinggi daripada 2.6 peratus pada bulan sebelumnya.

IHP teras, sebaliknya kekal kepada 3.3 peratus untuk bulan ketiga berturut-turut daripada 3.2 peratus pada Ogos, sekali gus menunjukkan kadar inflasi AS kekal tinggi.

Dalam pada itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kadar inflasi yang kekal bermakna Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin mahu mengubah strategi pelonggaran dasar monetarinya tahun depan.

"Ini mungkin bermakna kurang penurunan kadar faedah atau mungkin tiada penurunan kadar faedah langsung. Keadaan ini sangat menyokong dolar AS dan oleh itu ringgit boleh kekal terikat dalam julat," katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit merosot berbanding pound British kepada 5.6591/6648 daripada 5.6389/6459, turun berbanding euro kepada 4.6612/6659 daripada 4.6515/6573 selain susut berbanding yen Jepun kepada 2.9074/9106 daripada 2.9013/9051 pada penutupan Rabu.

Artikel Berkaitan:

Mata wang tempatan juga diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit menguncup berbanding dolar Singapura kepada 3.3008/3044 daripada 3.2937/2980 pada Rabu, berkurang berbanding baht Thailand kepada 13.1058/1261 daripada 13.0640/0875 dan susut berbanding peso Filipina kepada 7.61/7.62 daripada 7.59/7.61 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 278.1/278.5 daripada 278.2/278.7 sebelumnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!