Polis tamatkan SAR anggota TDM

Laporan Sinar Harian berhubung kehilangan dua anggota TDM ketika operasi di Banding, Perak (Gambar kecil: Zulkifli)
Laporan Sinar Harian berhubung kehilangan dua anggota TDM ketika operasi di Banding, Perak (Gambar kecil: Zulkifli)
A
A
A

GERIK - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi Sungai Merah di Hutan Royal Belum sejak 30 November lalu telah ditamatkan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, misi pencarian Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi daripada pasukan 22 Komando, Kem Iskandar Mersing, Johor itu tidak menemukan sebarang petunjuk baharu.

"Tugas SAR yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ditamatkan sekitar jam 6 petang pada Khamis (hari ini).

"Bagaimanapun, usaha pencarian mangsa diteruskan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Terdahulu Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman memaklumkan operasi carilamat dalam hutan melibatkan lapan kumpulan dengan atur gerak seramai enam pegawai dan 126 Lain-lain Pangkat dari 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), dua Rejimen Renjer DiRaja (RRD) dan 22 komando.

Pada 3 Disember lalu, TDM dalam kenyataan mengesahkan kehilangan dua anggotanya semasa melakukan rondaan berhampiran Sungai Merah di Permatang sempadan Malaysia-Thailand dalam Operasi KOTA, ECHO, FOXTROT Siri 6/2024.

Dalam kejadian itu, tujuh anggota dilaporkan selamat, namun Ahmad Zulhilmi serta Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin daripada pasukan 21 Komando Kem Sungai Udang, Melaka telah hilang.

Bagaimanapun, mayat Mohd Afandi yang berasal dari Matu, Sarawak dijumpai di tepi sungai kira-kira tiga kilometer dari kedudukan Markas Trup pada 1 Disember, dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan penyelamat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!