KPM tetap teruskan peperiksaan SPM, sedia hadapi gelombang kedua banjir

KPM bersedia sepenuhnya untuk meneruskan peperiksaan SPM sekiranya berlaku gelombang kedua banjir. Foto hiasan
KPM bersedia sepenuhnya untuk meneruskan peperiksaan SPM sekiranya berlaku gelombang kedua banjir. Foto hiasan
A
A
A

PASIR MAS - Kementerian Pendidikan (KPM) telah bersedia sepenuhnya untuk meneruskan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekiranya berlaku gelombang kedua banjir, dengan persediaan itu dilakukan sejak Oktober lepas, kata Ketua Setiausaha KPM, Datuk Ruji Ubi.

Beliau berkata, persediaan itu termasuk kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Kita telah bersedia sejak Oktober lepas termasuk mengenal pasti tempat tinggal murid, pusat pemindahan sementara (PPS) yang terdekat serta mengadakan kerjasama dengan pasukan keselamatan. Jadi, untuk ujian lisan SPM bagi subjek Bahasa Inggeris akan datang memang kita sudah bersedia.

"Sebagai contoh, murid yang mengikuti ujian lisan Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti baru-baru ini dipindahkan ke Kolej Vokasional Pasir Mas, iaitu tempat yang lebih selamat selepas sekolah berkenaan dilanda banjir. Praktis yang sama akan digunakan sekiranya tempat ini dilanda banjir lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan tinjauan di SMK Meranti di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JPN Kelantan, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz.

Ruji berkata, calon yang terkesan dengan musibah banjir akan ditempatkan di asrama berdekatan dan dibekalkan dengan makanan serta guru kaunseling untuk memastikan emosi mereka berada dalam keadaan baik.

"KPM akan memberi fokus sepenuhnya kepada sekolah, guru serta calon yang terjejas disebabkan bencana banjir agar peperiksaan SPM dapat berjalan lancar hingga Februari tahun depan walaupun terpaksa berhadapan Monsun Timur Laut," katanya.

Media sebelum ini melaporkan KPM akan terus mengaktifkan Op Payung bagi menangani semua isu berkaitan persekolahan, peperiksaan dan banjir.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ruji berkata, 15 sekolah di Kelantan termasuk sekolah rendah dan menengah terjejas teruk berikutan banjir gelombang pertama pada penghujung November lepas.

"Banyak sekolah yang terjejas berada di jajahan Pasir Mas serta Tumpat manakala kerosakan harta benda mencecah hingga 80 peratus. Kerosakan yang dialami ini akan dibaik pulih dari semasa ke semasa dan kita harap gelombang kedua tidak seteruk gelombang pertama," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!