Sekarang baru muncul?

Megat D Shahriman, Ahmad Shapawi. Foto Agensi
Megat D Shahriman, Ahmad Shapawi. Foto Agensi
A
A
A

BAHANG pemilihan pucuk pimpinan Majlis Olimpik Malaysia (MPM) di Kampung Pandan, Kuala Lumpur kian terasa apabila Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mencetuskan persoalan mengenai cabaran yang bakal dihadapinya pada Sabtu ini.

Bukan takut untuk 'buka gelanggang' namun tawaran bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang berminat dengan jawatan nombor satu badan induk sukan para itu menimbulkan teka-teki.

Malah kehadiran tokoh berpengalaman dalam pentadbiran sukan itu disambut dengan hati terbuka dan sedia mempertahankannya buat penggal kedua sejak 2019, namun persoalannya kenapa 'sekarang baru muncul'.

"Saya mahu pastikan sukan para milik keluarga para. Kalau sebelum ini keluarga ini diperlekehkan, kenapa baru sekarang orang yang selama ini tidak mengendahkan kami tiba-tiba mahu ambil berat.

"Selama beliau menjadi ketua pengarah MSN dan memiliki kuasa, berlaku penindasan kepada sukan para dan ia adalah fakta. Kita ditindas dan tiba-tiba kita hendak terima orang macam ini.

"Jadi saya nasihatkan elok saja beliau berehat. Selama sembilan tahun ini beliau sepatutnya boleh bantu, bila ada kuasa dia sepatutnya tolong kita, tapi hari ini apabila sudah tak ada kuasa, dia datang untuk bertanding.

"Jadi bagi saya jangan jadi hipokrit," katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan Ahmad Shapawi menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden MPM pada Mesyuarat Agong Tahunan (AGM) Sabtu ini.

Artikel Berkaitan:

Megat D Shahriman menegaskan perlu meneruskan peranannya sebagai presiden untuk penggal baharu ini kerana terdapat beberapa perkara yang perlu dilaksanakan untuk MPM dan sukan para negara.

Tambahnya, ia adalah bagi memastikan dua kontrak kerjasama penting bersama dua syarikat dapat diteruskan untuk meneruskan program-program akar umbi prestasi tinggi dan luar podium.

"Ini adalah untuk memperkasakan persatuan para kebangsaan," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kerjasama dengan entiti atau syarikat dengan MPM sangat penting kerana sudah menjadi tanggungjawab presiden untuk mencari dana bagi menampung perbelanjaan program dan pengurusan badan itu.

"Ia juga bagi memastikan pengkomersialan MPM mempunyai nilai yang tinggi bagi memberi manfaat kepada semua persatuan sukan kebangsaan," katanya.

Menurutnya, MPM memerlukan sekurang-kurangnya RM600,000 setahun, memandangkan sebelum ini hanya mendapat peruntukan daripada segi geran pengurusan dan penggajian pekerja.

"Segala program dan aktiviti lain ditanggung sepenuhnya oleh MPM. Faedah kerjasama ini akan membantu meringankan kos yang ditanggung oleh persatuan para kebangsaan," katanya.

Sepanjang empat tahun menerajui MPM, Megat D Shahriman membawa badan induk sukan para negara ke tahap lebih tinggi di peringkat Asia Tenggara, Asia dan dunia.

Beliau dilantik sebagai Ahli Lembaga Tadbir Persekutuan Sukan Para Asia Tenggara (APSF), Wakil Sub-Region Jawatankuasa Paralimpik Asia dan Ahli Lembaga Eksekutif Persekutuan Bolasepak Cerebral Palsy Antarabangsa (IFCPF).

MPM dijangka mengeluarkan senarai penuh calon yang layak bertanding bagi merebut jawatan tertinggi pada Jumaat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!