Pihak pertikai kemuka isu Titah Adendum kepada Agong dangkal ilmu - PM

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pihak yang mempertikai tindakan beliau mengemukakan isu Titah Adendum Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbang oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan sebagai dangkal ilmu dan tidak berminat mencari kebenaran.

Perdana Menteri berkata, sebagai individu yang pernah dipenjara, beliau berpandangan setiap orang tanpa terkecuali termasuk banduan mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan pengampunan terhadap hukuman yang dikenakan ke atas mereka.

"Saya masuk penjara kali pertama semasa (Tun Dr) Mahathir (Mohamad), kali kedua ketika Najib menjadi Perdana Menteri... tetapi saya sekarang adalah Perdana Menteri, saya tidak berdendam dan hasad dengki.

"Bila saya tengok dalam mesyuarat tidak ada agenda rayuan Datuk Seri Najib, saya kata saya akan persembah rayuan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dipertimbang," katanya ketika berucap merasmikan Karnival FLYsiswa dan Karnival Pengangkutan Siswa MADANi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Anwar berkata, apabila memutuskan untuk tidak mengulas isu itu, beliau dituduh dan dikecam pula sebagai cuba menyembunyikan kebenaran berkaitan Titah Adendum sedangkan tindakan tersebut dibuat bagi menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung di mahkamah.

Pada Selasa lepas, Anwar ketika menjawab soalan dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat memaklumkan beliau telah mengemukakan isu Titah Adendum itu kepada Yang di-Pertuan Agong kerana ia terus berbangkit.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari tahun depan untuk mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan bekas Perdana Menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum.

Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara meminta semua pihak menghormati prosiding mahkamah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bersifat subjudis.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri juga berkata, beliau membangkitkan perkara itu di hadapan mahasiswa untuk berkongsi mengenai proses undang-undang yang perlu dipatuhi dan sebagai pemimpin masa depan, mereka mesti mempunyai wibawa bagi mencari kebenaran di sebalik sesuatu perkara yang diperdebatkan.

"Saya bicara kerana saya anggap anak-anak ini bukan sahaja pemimpin masa depan tetapi ada peranannya selaku pemimpin sekarang.

"Soal nilai, soal kemanusiaan itu berlaku sekarang... anda harus menentukan dasar sekarang dan jangan izinkan orang yang membuat porak-peranda, menghasut serta menjahanamkan kesatuan kita berbuat sesuka hati," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!