WTF 2024: Peluang Sze Fei-Nur Izzuddin ke separuh akhir masih terbuka

Misi hidup mati Nur Izzuddin (kiri) dan Sze Fei menentang pasangan China pada Jumaat. Foto Agensi
Misi hidup mati Nur Izzuddin (kiri) dan Sze Fei menentang pasangan China pada Jumaat. Foto Agensi
A
A
A

[DIKEMAS KINI] BEREGU lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani boleh menarik nafas lega kerana masih berpeluang untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (BWF) 2024 di China.

Peluang tersebut diraih selepas pasangan nombor tujuh dunia itu menumpaskan wakil Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan di Hangzhou sebentar tadi.

Kemenangan tersebut bagaimanapun bukan diraih dengan mudah apabila juara Terbuka China itu dipaksa bekerja keras sehingga ke set penentuan.

Mereka tewas 15-21 pada set pertama kepada gandingan yang berada di kedudukan ke-10 dunia itu.

Enggan menoleh ke belakang lagi, Sze Fei-Nur Izzuddin bangkit memperkemaskan permainan dan ia membuahkan hasil apabila menang 21-19 untuk melanjutkan permainan ke set penentuan.

Momentum positif diteruskan pasangan profesional itu apabila mengesahkan kemenangan 21-13 dalam tempoh 52 minit permainan.

Menerusi kemenangan tersebut melebarkan rekod kemenangan juara Terbuka Artik itu kepada 4-1 ke atas Jhe Huei-Po Hsuan.

Sze Fei-Nur Izzuddin pada Rabu tewas di tangan wakil Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 18-21, 21-16, 14-21.

Artikel Berkaitan:

Perjuangan Sze Fei-Nur Izzuddin bagaimanapun belum selesai apabila akan berdepan satu lagi pasangan Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin dalam aksi terakhir Kumpulan A pada Jumaat.

Jhe Huei-Po Hsuan pula akan membuat perhitungan dengan Astrup-Rasmussen dalam satu lagi saingan kumpulan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!