Mangsa banjir di Pahang meningkat, situasi di tiga negeri beransur pulih
KUALA LUMPUR - Situasi banjir di Perak, Johor dan Terengganu beransur pulih dengan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan malam ini manakala di Pahang merekodkan peningkatan.
Di PERAK, jumlah mangsa banjir berkurang kepada 220 orang daripada 68 keluarga di daerah Perak Tengah dan Manjung malam ini, berbanding 225 orang petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan daripada jumlah itu, 186 mangsa daripada 57 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Beruas manakala 34 mangsa daripada 11 keluarga berlindung di SK Teluk Kepayang.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan pula memaklumkan paras air Sungai Rui di Hulu Perak berada pada paras amaran iaitu setinggi 165.68 meter berbanding paras normal 165.10 meter manakala Sungai Bidor di kawasan Changkat Jong merekodkan bacaan pada tahap sama dengan kedalaman sekitar 3.32 meter berbanding paras normal dua meter.
Jumlah mangsa di JOHOR turut berkurangan kepada 85 orang daripada 26 keluarga malam ini, berbanding 139 orang petang tadi.
Pengerusi JPBN Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan sebuah PPS iaitu SK Simpang Lima Darat di Tangkak ditutup selepas banjir di penempatan mereka surut dan semua mangsa dibenarkan pulang.
"Hanya dua PPS aktif di Segamat iaitu Balai Raya Kampung Batu Badak yang menempatkan 40 orang daripada 12 keluarga dan Dewan Komuniti Kampung Tasek dengan 45 orang daripada 14 keluarga," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, tiga sungai dilaporkan melepasi paras amaran iaitu stesen Sungai Muar di Kampung Awat dan Sungai Muar di Buloh Kasap dalam daerah Segamat, serta Sungai Sedili Kecil di Sedili Kecil, Kota Tinggi.
Situasi banjir semakin pulih di TERENGGANU apabila jumlah mangsa berkurang kepada 91 orang daripada 18 keluarga malam ini, berbanding 230 orang petang tadi yang ditempatkan di dua PPS.
Sekretariat JPBN Terengganu memaklumkan PPS yang masih dibuka ialah SK Kampung Baru Kerteh dengan 15 mangsa daripada tiga keluarga dan Balai Raya Padang Kemunting yang menempatkan 76 mangsa daripada 15 keluarga.
Sementara itu di PAHANG, jumlah mangsa kembali meningkat malam ini selepas 32 orang ditempatkan di tiga PPS berbanding seorang di satu PPS petang tadi.
Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, PPS Surau Kampung Lompat di Temerloh menempatkan seorang mangsa manakala di Bera sebanyak 16 orang berlindung di SK Bukit Gemuruh dan 15 orang lagi ditempatkan di Masjid Kampung Mengkarak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!