Era baharu Syria lebih mencabar bermula

Orang ramai berjalan di Damascus, Syria pada Selasa. Foto Xinhua
Orang ramai berjalan di Damascus, Syria pada Selasa. Foto Xinhua
A
A
A

KEJATUHAN menggemparkan Presiden Bashar al-Assad menamatkan dinasti autoritarian yang bermula dari era pentadbiran bapanya, Hafez al-Assad di bawah Parti Baath sejak tahun 1971.

Selepas lebih lima dekad, pakatan puak sunni digelar sebagai Hayat Tahrir al-Sham (HTS) akhirnya berjaya menggulingkan Assad yang merupakan pengikut syiah (Alawi) dan kini mengambil alih tampuk pemerintahan di negara itu.

Situasi di negara bergolak itu sedikit sebanyak telah mengubah geopolitik di Asia Barat yang terus meruncing dek Perang Gaza tiada kesudahan dan gencatan senjata yang goyah di Lubnan.

Adakah Damsyik yang berdepan perang saudara selama 13 tahun sudah benar-benar memasuki lembaran baharu dan tiada risiko perebutan kuasa dalam kalangan puak pemberontak pada masa akan datang?

Terdapat beberapa puak pemberontak utama yang mengawal bahagian tertentu di negara itu. Pasukan Demokratik Syria (SDF) terdiri daripada pejuang Kurdish yang disokong Amerika Syarikat (AS) mengawal bahagian timur dan kini menguasai sepenuhnya bandar Deir el-Zour selepas pengunduran tentera rejim Bashar.

Kawasan sepanjang utara bersempadan Turkiye pula dikawal Tentera Kebangsaan Syria (SNA) iaitu militia disokong Ankara juga boleh menjadi ‘pemain penting’ untuk menentukan hala tuju negara itu.

Di sekitar kawasan gurun tandus di timur negara itu, saki-baki atau sel kecil anggota Daesh dikatakan masih lagi wujud dan dikhuatiri akan melancarkan pemberontakan sebagai mengambil peluang daripada penggulingan Assad.

Menerusi edisi terbaharu akhbar mingguan rasmi mereka, al-Nakba, Daesh dengan angkuh menyatakan ia enggan menerima kerajaan baharu di Damsyik melainkan kumpulan militan itu sendiri yang memegang tampuk pemerintahan. Tetapi, pendekatan lebih lembut tanpa keganasan melampau diguna pakai pemimpin HTS, Abu Mohammed al-Jolani meraih kepercayaan banyak pihak untuk menerima peralihan kuasa daripada kerajaan terdahulu tanpa timbul sebarang bantahan.

Artikel Berkaitan:

Situasi di negara itu ternyata masih belum stabil sepenuhnya, diburukkan lagi dengan serangan udara bertalu-talu Israel ke atas infrastruktur penting tentera sejak akhir minggu lalu.

Tetapi, sekurang-kurangnya rakyat Syria dan jutaan yang menjadi pelarian dapat menarik nafas lega kerana mereka tidak lagi hidup dalam cengkaman rejim Assad yang melakukan kezaliman dan penindasan selama 24 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!