Empat sekawan mengaku tidak bersalah culik wanita Indonesia
GEORGE TOWN - Empat sekawan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan menculik seorang wanita Indonesia.
Kesemua mereka dituduh secara bersama menculik wanita warga asing berusia 41 tahun itu pada 5 Disember lalu.
Tertuduh, R Narindran, 30, M Areveen Raj, 28, R Jayruban, 25 dan Mohammad Syafiq Segnar Abdullah, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Siti Nurul Suhaila Baharin.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh telah melarikan secara paksa seorang wanita dengan niat telah menyebabkan kurungan salah di sebuah rumah di Palma Laguna Waterpark Condominium, Jalan Baru, Perai.
Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Kelawei antara jam 8 malam, 5 Disember hingga jam 11.45 pagi, 7 Disember lalu.
Oleh demikian, mereka dituduh telah melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali manakala semua tertuduh diwakili peguam, K Mahendran.
Nurul Atikah tidak menawarkan sebarang jaminan dan mencadangkan mahkamah mengenakan syarat tambahan yang ketat sekiranya ingin memberi jaminan kepada kesemua tertuduh.
"Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh.
"Bagaimanapun, jika mahkamah masih ingin memberi jaminan, saya pohon ia diberikan bersama syarat-syarat yang ketat," katanya.
Sementara itu, Mahendran dalam rayuannya berkata, sekiranya mahkamah menetapkan syarat tambahan terhadap kesemua anak guamnya, mereka akan mematuhinya.
"Saya mewakili kesemua tertuduh dan memohon mahkamah mengenakan hukuman yang minimum kepada mereka. Ini kerana, kesemua tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.
"Mereka juga bekerja dengan gaji bulanan antara RM1,500 hingga RM2,000 sahaja," katanya.
Menurutnya, Narindran sudah berkahwin dan perlu menanggung isterinya yang tiada pekerjaan selain mempunyai seorang anak berusia lapan bulan.
"Dia juga perlu menanggung ibu bapanya dengan gaji sebagai kontraktor sebanyak RM1,800 sebulan, sementara Areveen pula masih bujang dan bekerja sebagai pemandu lori dengan gaji bulanan RM2,000.
"Dia perlu menanggung ibunya yang sedang sakit. Bagi Jayruban yang masih bujang pula, dia merupakan penanggung tunggal keluarga yang perlu menyara ibu dan adiknya.
"Mohammad Syafiq pula, dia bekerja sebagai kontraktor dengan gaji bulanan RM1,500. Walaupun masih bujang, dia menyara kakak dan anaknya yang sakit," katanya.
Siti Nurul Suhaila kemudiannya menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh dengan dua syarat tambahan.
"Kesemua tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang kes ini.
"Mereka juga perlu melaporkan diri setiap 1 haribulan setiap bulan di balai polis terdekat sehingga kes ini selesai," katanya.
Kes ditangguh sehingga 21 Januari depan untuk serahan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!