PIS bukan parti tajaan, tiada kaitan dengan Anifah Aman
KOTA KINABALU - Presiden Parti Impian Sabah (PIS), Michel Alok menafikan parti yang ditubuhkannya pada tahun lalu itu adalah parti tajaan ahli politik lain.
Katanya, penafian itu telah pun dibuat menerusi satu kenyataan sebelum ini selepas seorang pemimpin dari parti lain menuduh bahawa PIS dimiliki pemimpin politik ternama di negeri ini.
"Itu tidak betul dan satu fitnah. Perkara itu sudah kita jelaskan. Bangunan yang kita ada itu adalah milik bendahari agung kita, Chin Ling Ling, bukan Anifah Aman dan tiada kaitan dengan beliau dalam kes ini," katanya dalam sidang akhbar selepas Persidangan Perwakilan Agung Dwi-Tahunan PIS kali pertama sesi 2024-2026 di Likas pada Khamis.
Ditanya mengenai calon yang belum diumumkan lagi, beliau memaklumkan PIS masih dalam proses penapisan untuk melengkapkan seramai 73 calon yang akan dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun depan.
"Setakat ini kita sudah ada 56 calon, kalau dulu seramai 52 sekarang 56 dan seperti yang saya umumkan kita sudah ada 60 bahagian.
"Jadi kita akan terus mencari dan tidak berubah, kita akan bertanding 73 kerusi dan masih dalam proses penapisan yang terakhir. Saya yakin bahawa kita akan dapat calon pada masa-masa akan datang ini mencapai 73," katanya.
Bagaimanapun, beliau melihat bahawa keadaan politik di Sabah ketika ini terlalu rapuh dan sukar mengatakan di mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang boleh dimenangi.
"Sebab pemikiran rakyat hari ini sudah bukan macam dahulu lagi, saya percaya pengundi-pengundi di Sabah ini sudah pintar," katanya.
Sementara itu, Michel memberi jaminan barisan pimpinannya termasuk calon yang akan bertanding dalam pilihan raya tidak terlibat dalam aktiviti rasuah.
Beliau turut menyatakan komitmennya dengan melakukan ikrar bebas rasuah (IBR) di hadapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama barisan pimpinannya baru-baru ini.
"Hanya PIS yang mewajibkan semua termasuk Ahli Majlis Tertinggi (AMT), Ketua Bahagian dan yang bertanding mesti mengadakan IBR di hadapan SPRM dan ini tidak sama, ada kelainan.
"Saya minta sebelum mereka menjadi pemimpin akan datang, mereka sudah IBR, maksudnya bahawa mereka sudah beri komitmen dan sebenarnya dalam IBR ini, orang bilang sudah menyerah diri," ujar beliau.
Beliau mahu PIS mempunyai kelainan dari parti lain di mana pimpinan serta calonnya bersih dari isu skandal rasuah.
"Itulah dalam ucapan saya kata bebas rasuah. Sekiranya saya melibatkan diri dalam rasuah, saya rela ditangkap. Itulah maksud IBR ini.
"Apa yang kita lakukan ini, saya yakin rakyat Sabah akan menerima PIS. Kita melakukannya untuk menunjukkan kepada pengundi bahawa kita ikhlas, bukan cakap saja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!