YKM salur Bantuan Kasih kepada 977 penerima sejak 2022

Ismail menyantuni penerima YKM di Kuching.Sarawak pada Khamis.
Ismail menyantuni penerima YKM di Kuching.Sarawak pada Khamis.
A
A
A

KUCHING - Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) menyalurkan Bantuan Kasih secara berfasa kepada 977 penerima sejak 2022 termasuk 47 penerima daripada 21 keluarga di Sarawak.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, anak-anak berusia bawah 16 tahun menerima bantuan sebanyak RM2,000 setahun, manakala remaja berusia 16 tahun sehingga tamat pengajian ijazah pertama menerima bantuan sebanyak RM2,500 setahun.

“Jumlah sumbangan dijangka meningkat tahun hadapan, kita menerima sebanyak 890 permohonan baharu dan masih lagi dalam proses semakan serta tapisan.

“Pemohon yang layak akan dimaklumkan dalam masa terdekat melalui emel dan WhatsApp,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bekas perdana menteri itu berkata, YKM telah membelanjakan sebanyak RM5 juta pada tahun ini untuk Bantuan Persekolahan, Bantuan Menara Gading, Hadiah Kecemerlangan Akademik, Sumbangan Perayaan dan Bantuan Bencana serta pengurusan.

Terdahulu beliau menziarahi keluarga Rimanoraishahida Sarbini, 37, yang kematian suami, Mohamad NuryasriSuut pada 14 September 2021 akibat pandemik Covid-19.

Ibu tunggal yang bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak itu menjaga tiga anaknya iaitu Muhammad Iman Darius berusia 16 tahun, Nur Iman Amani, 14 dan Nur Iman Aleeya, 13, dengan pendapatan RM700 sebulan.

“Saya menziarahi keluarga Rimanoraishahida di Taman Malihah yang merupakan pemohon baharu bantuan YKM.

Artikel Berkaitan:

“Setelah meneliti taraf hidup keluarga ini, pihak YKM bersetuju untuk memasukkan ketiga-tiga anaknya sebagai penerima bantuan yayasan ini bermula tahun hadapan.

“Saya telah menyerahkan surat kelulusan permohonan YKM kepada Rimanoraishahida ketika mengunjungi keluarga tersebut,” kata Ismail.

Dalam pada itu, seramai 20 anak-anak yatim dan yatim piatu di bawah kendalian YKM yang beragama Kristian akan menerima sumbangan Hari Natal sebanyak RM300 setiap seorang melalui akaun bank masing-masing bermula Jumaat.

“Ini merupakan komitmen YKM bagi memastikan anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan orang tersayang dapat menyambut setiap perayaan berdasarkan kepercayaan dan budaya masing-masing dengan penuh kegembiraan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!