AS umumkan pakej bantuan ketenteraan AS$500 juta untuk Ukraine

Pakej bantuan terbaharu itu merangkumi sistem anti-dron, peluru untuk pelancar roket HIMARS dan kenderaan berperisai.
Pakej bantuan terbaharu itu merangkumi sistem anti-dron, peluru untuk pelancar roket HIMARS dan kenderaan berperisai.
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat mengumumkan pakej bantuan ketenteraan baharu bernilai AS$500 juta untuk Ukraine bagi menyokong usaha pertahanan negara itu dalam menghadapi serangan berterusan Rusia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kenyataan Jabatan Negara AS pada Khamis.

Pakej bantuan terbaharu itu merangkumi sistem anti-dron, peluru untuk pelancar roket HIMARS dan kenderaan berperisai.

“Amerika Syarikat bersama lebih 50 negara lain berdiri teguh memastikan Ukraine memiliki keupayaan yang diperlukan untuk mempertahankan diri daripada pencerobohan Rusia,” menurut kenyataan itu.

Hanya beberapa hari lalu, kerajaan AS mengumumkan bantuan bernilai kira-kira AS$988 juta.

Ketika tempoh jawatan Presiden Joe Biden hampir tamat, kebimbangan kian memuncak di Ukraine mengenai kemungkinan perubahan dalam dasar AS.

Presiden terpilih Donald Trump yang dijadual mengangkat sumpah pada 20 Jan, mungkin mengurangkan bantuan ketenteraan kepada Ukraine secara drastik yang boleh melemahkan pertahanan Kyiv terhadap Rusia.

Dalam minggu-minggu terakhir pentadbiran Biden, AS sedang berusaha untuk mengagihkan semua dana yang diluluskan oleh Kongres kepada negara itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!