Tadabbur musibah: Banjir dan ujian yang menghidupkan jiwa

Ia memperlihatkan kasih sayang ALLAH melalui ujian-NYA dan memberi ruang pertingkat kebergantungan kepada-NYA


MUSIBAH yang menimpa manusia sebagai ujian ALLAH kepada hamba-NYA, apakah mereka bersabar dan bersyukur atau sebaliknya? Foto Bernama/Gambar kecil: USTAZ AHMAD SAIFUDDIN
MUSIBAH yang menimpa manusia sebagai ujian ALLAH kepada hamba-NYA, apakah mereka bersabar dan bersyukur atau sebaliknya? Foto Bernama/Gambar kecil: USTAZ AHMAD SAIFUDDIN
A
A
A

BARU-BARU ini, ribuan keluarga kehilangan tempat berteduh akibat banjir besar yang melanda menyebabkan rumah-rumah tenggelam, harta benda musnah dan suasana pilu menyelubungi setiap sudut kampung dan bandar.

Tangisan anak kecil dan keluhan warga emas menjadi saksi duka yang menguji jiwa. Namun di sebalik musibah ini, ALLAH mengingatkan kita dalam ayat ke-155 hingga 157 surah al-Baqarah:

“Demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh), kelaparan, (berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan ALLAH dan kepada ALLAH jualah kami kembali‘.

“Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-NYA dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-NYA.

Ayat ini memberikan harapan besar kepada kita bahawa setiap musibah bukanlah hukuman, tetapi satu ujian untuk menghidupkan hati, mengukuhkan iman dan mendekatkan kita kepada ALLAH.

Sabar sebagai cahaya dalam kegelapan

Berikut adalah ibrah dan tadabbur dari ayat ke-155 surah al-Baqarah, ‘Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar‘:

Artikel Berkaitan:

ALLAH SWT tidak menguji hamba-hamba-NYA atas perkara yang tidak mampu ditanggung mereka. Foto Bernama
ALLAH SWT tidak menguji hamba-hamba-NYA atas perkara yang tidak mampu ditanggung mereka. Foto Bernama

Ketika air banjir mengalir deras, hati kita mungkin dipenuhi keresahan dan ketakutan, namun ALLAH menyeru kita untuk bersabar.

Sabar bukan bermaksud pasrah tanpa usaha, tetapi menerima ujian dengan hati yang reda sambil berusaha untuk bangkit semula.

Orang-orang yang bersabar diberi ganjaran berita gembira, rahmat dan keberkatan.

Dalam musibah banjir ini, kita melihat banyak contoh sabar. Ibu bapa yang kehilangan rumah tetap mengukir senyuman untuk menenangkan anak-anak mereka.

Sukarelawan yang meninggalkan keselesaan rumah sendiri untuk membantu mangsa banjir, meskipun mereka sendiri mungkin turut terkesan.

Sabar ini adalah sinar dalam kegelapan yang memberikan kekuatan untuk terus melangkah.

Musibah yang mengingatkan kita

Musibah banjir bukan hanya ujian fizikal tetapi juga peringatan spiritual. ALLAH mengingatkan bahawa segala yang kita miliki berupa rumah, harta dan nyawa itu hanyalah pinjaman sementara.

Ketika kita mengucapkan “Inna lillahi wa inna ilaihi raji‘un“, kita mengakui bahawa semuanya milik ALLAH dan akan kembali kepada-NYA.

Pengakuan ini mengajarkan kita untuk tidak terlalu bergantung pada dunia, tetapi mencari makna hidup yang sebenar.


ORANG ramai boleh mengimbas kod QR untuk menyumbang kepada Tabung Gerakan al-Quran atas nama Yayasan Warisan Ummah Iklhas.
ORANG ramai boleh mengimbas kod QR untuk menyumbang kepada Tabung Gerakan al-Quran atas nama Yayasan Warisan Ummah Iklhas.

Kisah pilu seorang ibu di Kampung Gual To‘ Deh, Pasir Mas, Kelantan yang tidak sedarkan diri dan anaknya yang sudah kaku di pintu tidak bergerak lagi.

Orang kampung membawa dia dan anaknya ke hospital menggunakan lori tanah. Selepas 3 hari mendapat rawatan, si ibu ini pergi jua mengikut jejak anaknya tercinta.

Tadabbur Musibah: Hikmah di sebalik dugaan

Musibah ini juga membuka peluang untuk kita merenung dan berubah. Ia menyedarkan kita pentingnya persaudaraan, sikap tolong-menolong dan keprihatinan sesama manusia.

Dari sudut yang lain, musibah seperti ini memperlihatkan kasih sayang ALLAH, kerana melalui ujian, DIA memberikan ruang untuk kita meningkatkan kebergantungan kepada-Nya.

Musibah banjir ini mungkin meninggalkan parut, tetapi ia juga meninggalkan hikmah mendalam bagi mereka yang merenung.

Kita mungkin kehilangan harta, tetapi tidak pernah kehilangan kasih sayang ALLAH yang MAHA KUASA.

Bersama doa dan usaha, kita boleh bangkit semula, membina kehidupan yang lebih baik.

Sama-sama kita saling menguatkan, memberi harapan dan menyebarkan kasih sayang di tengah ujian ini. Rahmat ALLAH sentiasa bersama mereka yang sabar dan reda dengan ketentuan-NYA.

***AHMAD SAIFUDDIN YUSOF merupakan Konsultan Kandungan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!