MAIWP peruntuk sejumlah RM1.674 bilion untuk Bajet 2025

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (tengah) pada sidang akhbar semasa Pembentangan Bajet MAIWP 2025 di Menara MAIWP di sini pada Khamis.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (tengah) pada sidang akhbar semasa Pembentangan Bajet MAIWP 2025 di Menara MAIWP di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan bajet sebanyak RM1.674 bilion pada tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, jumlah itu meningkat kepada 4.43 peratus berbanding sebanyak RM1.603 bilion pada tahun lalu.

Menurut beliau, perbelanjaan bertemakan 'melestari ummah wilayah sejahtera' itu memberi tumpuan terhadap agihan zakat dengan peruntukan terbanyak sebanyak RM1.34 bilion.

"Selaras hasrat kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar, MAIWP memberi tumpuan kepada dua fokus utama perbelanjaan agihan zakat iaitu pemerkasaan kesejahteraan asnaf dan pembangunan modal insan.

"Pemerkasaan kesejahteraan asnaf memperuntukkan sebanyak RM1.1 bilion dan sebanyak RM230 juta lagi bagi pembangunan modal insan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Pembentangan Bajet Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2025 di Menara MAIWP di sini pada Khamis.

Ujar beliau, MAIWP juga pada tahun sama memperuntukkan sebanyak RM246 juta bagi perbelanjaan mengurus merangkumi aktiviti operasi dan pengurusan.

"Kita juga memperuntukkan sebanyak RM87 juta dana bagi tujuan pembangunan merangkumi hartanah, pembelian aset dan pelaburan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, katanya, MAIWP menganggarkan sebanyak RM1.5 bilion pendapatan pada tahun depan

Katanya, jumlah itu dijangka meningkat sebanyak 12 peratus berbanding anggaran pendapatan tahun ini yang berjumlah RM1.3 bilion.

"MAIWP juga menyasarkan kutipan zakat berjumlah RM1.2 bilion yang dikutip Pusat Pungutan Zakat (PPZ)," jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im memberitahu, bajet yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 10 Oktober lalu itu menetapkan tujuh fokus utama antaranya pemerkasaan asnaf, memperkukuh modal insan melalui pendidikan dan melaksanakan inisiatif transformasi digital.

Mohd Na’im memberitahu, bajet itu bersandarkan kepada dasar yang ditetapkan oleh kerajaan melalui Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) 2023-2027 berpandukan kepada lima teras utama.

"Lima teras itu ialah, pentadbiran Islam mampan, kesejahteraan insan, kemuliaan syariah, kepimpinan berdaya cipta dan kehormatan institusi Islam," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!