RCI Batu Puteh: Pembangkang perlu fokus kedaulatan negara, bukan kepentingan individu

Ammar Atan
Ammar Atan
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Harapan (AMH) meluahkan kekecewaan dengan sikap pemimpin pembangkang yang didakwa mengabaikan isu utama dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Batu Puteh sebaliknya dilihat lebih tertumpu kepada mempertahankan individu tertentu.

Ketua Penerangannya, Ammar Atan berkata, pendekatan itu tidak menggambarkan komitmen kepada kedaulatan negara malah mencemarkan semangat patriotisme yang seharusnya menjadi asas perjuangan rakyat Malaysia.

“RCI ini dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, dianggotai oleh pakar undang-undang dan tokoh berpengalaman adalah badan bebas yang ditubuhkan untuk mencari kebenaran serta mengesyorkan langkah bagi memastikan kedaulatan negara tidak tergugat.

“Justeru, adalah tidak wajar untuk pembangkang hanya menumpukan kepada satu aspek laporan RCI seperti cadangan laporan polis terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa memberi perhatian kepada cadangan lain yang lebih menyeluruh dan strategik demi mempertahankan kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, laporan RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 5 Disember lalu mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun sama.

Dalam pada itu, Ammar berkata, laporan cadangan RCI seperti penilaian semula proses rundingan antarabangsa, penambahbaikan mekanisme pengurusan isu sempadan negara dan pengukuhan peranan institusi diplomatik adalah antara langkah yang konkrit.

“Fokus pembangkang sepatutnya kepada usaha memastikan semua cadangan ini dilaksanakan dengan telus dan berkesan, bukan sekadar mempertahankan individu tertentu atas dasar sentimen politik.

“Langkah siasatan terhadap mana-mana pihak, termasuk laporan polis terhadap Dr Mahathir adalah sebahagian daripada proses keadilan yang bebas dan tidak bermotifkan politik.

Artikel Berkaitan:

“Ia tidak bermakna jasa besar beliau sebagai negarawan dinafikan tetapi menunjukkan bahawa tiada individu yang kebal daripada keperluan bertanggungjawab terhadap tindakan mereka,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ammar berkata, mempertahankan negara adalah lebih utama daripada kepentingan peribadi atau ketaasuban kepada mana-mana individu.

Tambah beliau, kedaulatan Batu Puteh bukan sekadar isu teknikal atau sejarah tetapi ia adalah simbol perjuangan mempertahankan maruah negara.

“Semua pihak mesti meletakkan patriotisme dan integriti di hadapan dalam menyelesaikan isu ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!