Insiden Jalur Gemilang terbalik, Armada Bersatu gesa tindakan tegas

Jersi dipakai Zii Jia memaparkan Jalur Gemilang terbalik pada aksi pembukaan Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024, pada Rabu.
Jersi dipakai Zii Jia memaparkan Jalur Gemilang terbalik pada aksi pembukaan Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024, pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Armada Bersatu menggesa tindakan yang sewajarnya diambil terhadap pihak berkaitan, susulan penggunaan Jalur Gemilang terbalik pada jersi pemain badminton negara.

Ketua Biro Sukan dan Pop Culture Armada Bersatu, Muhammad Syamel Riduan berkata, pihaknya kecewa dengan insiden itu dan mengharapkan ia menjadi pengajaran kepada semua pihak yang secara sengaja atau tidak sengaja mahu memperkotak-katikkan kedaulatan negara

Menurutnya, apa yang mengecewakan, insiden itu berlaku pada kejohanan antarabangsa yang membawa nama baik negara manakala Jalur Gemilang adalah simbol kebanggaan yang melambangkan kemerdekaan, perpaduan dan identiti Malaysia.

“Sebarang kesilapan atau kecuaian dalam penggunaan simbol ini, lebih-lebih lagi apabila ia dipaparkan dalam keadaan terbalik, adalah satu bentuk penghinaan terhadap maruah dan kehormatan negara.

“Armada juga ingin menuntut kepada Menteri Belia dan Sukan jangan mudah menerima permohonan maaf daripada pihak berwajib kerana kita sudah 67 tahun merdeka. Mana mungkin mereka tidak mempunyai maklumat yang lengkap berkaitan kedudukan Jalur Gemilang yang tidak sepatutnya berada dalam keadaan terbalik.

“Acapkali perkara ini berlaku dan terlampau mudah memaafkan perkara yang melibatkan kedaulatan negara. Armada menggesa agar tindakan yang sewajarnya diambil agar perkara ini menjadi pengajaran kepada semua pihak yang secara sengaja atau tidak sengaja mahu memperkotak-katikkan kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Penaja kepada pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia, Victor, sebelum ini membuat permohonan maaf berhubung kesilapan melibatkan logo Jalur Gemilang yang terbalik di jersi pemain itu pada perlawanan pertamanya di Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Rabu.

Logo Jalur Gemilang yang ditampal secara terbalik di kiri baju dalam perlawanan menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen itu jelas kelihatan di televisyen dan mencetuskan kekecohan di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Victor Malaysia dalam kenyataan dimuat naik di akaun X, mengakui kesilapan dan kesal dengan insiden berkenaan sambil menjelaskan ia tidak menggambarkan rasa hormat yang mendalam terhadap Malaysia, simbol kebangsaan atau kebanggaan dan kehormatan mewakili negara di pentas antarabangsa.

Victor juga sedang meneliti secara menyeluruh bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!