Bekas CEO PPSPM dihukum penjara dua tahun, denda RM1.3 juta
MELAKA - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM1.3 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, selepas didapati bersalah menerima rasuah berkaitan kerja pembekalan bot Melaka River Cruise (MRC).
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Fariz Mohd Ali, 42, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan tertuduh didapati bersalah serta disabitkan atas empat pertuduhan pindaan.
Elesabet dalam penghakimannya berkata, sepanjang prosiding pembelaan, hanya dua saksi memberi keterangan dan tertuduh menafikan menerima wang rasuah berkenaan, tidak berada di tempat serahan wang selain mendakwa tempat cuci kereta seperti dalam pertuduhan tidak wujud.
Menurutnya, tertuduh juga menafikan pernah membantu syarikat LEC Impresssions Sdn Bhd mendapatkan projek kepada PPSPM serta mendakwa dokumen kewangan syarikat berkenaan dan transaksi kepada seorang lelaki bernama Osman tidak selari seperti jumlah dipertuduhkan.
"Setelah mendengar keseluruhan keterangan saksi, mahkamah mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah untuk mematahkan anggapan mengikut Seksyen 51 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
"Tertuduh didapati bersalah dan disabitkan terhadap keempat-empat pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama," katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dan denda RM500,000 bagi pertuduhan pertama; penjara dua tahun, denda RM400,000 bagi pertuduhan kedua serta masing-masing penjara setahun dan denda RM250,000 serta RM150,000 bagi pertuduhan ketiga dan keempat.
Semua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh hukuman serta tertuduh boleh dikenakan penjara 32 bulan jika gagal membayar denda.
Berdasarkan keempat-empat pertuduhan pindaan, tertuduh yang berjawatan Pengurus di Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Produk PPSPM ketika kejadian, secara rasuah menerima suapan tunai berjumlah RM260,000 daripada CEO Syarikat LEC Impressions Sdn Bhd.
Ia bagi dorongan mencadangkan syarikat berkenaan untuk memperoleh projek membekal 10 bot Melaka River Cruise kepada PPSPM dan semua kesalahan itu dilakukan dalam empat perjumpaan berasingan bersama wakil syarikat, Osman Abdul Rahman di dua lokasi berbeza sekitar Melaka Tengah antara 4 Januari hingga 15 November 2017.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Pegawai Pendakwa, Nur Syakila Yaacob memohon hukuman berat dikenakan atas kepentingan awam dan pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.
Hujahnya, mereka tidak bersetuju dengan hujah peguam tertuduh bahawa kesalahan rasuah dilakukan tertuduh yang ketika itu merupakan penjawat awam satu kesalahan kecil.
Peguam Hamidi Mohd Noh dan Nur Khairunnisa Sabirah Abdul Manan yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan kerana ini merupakan kesalahan pertama tertuduh selain menjaga ibu bapa yang uzur serta anak dan isteri.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut selepas dimohon peguam bagi membuat rayuan dengan jumlah jaminan dinaikkan kepada RM60,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!