Peri penting pengetahuan urus harta pusaka
MESKIPUN mempunyai harta yang banyak ketika hidup, namun apalah gunanya jika ia tidak boleh digunakan dan diuruskan oleh waris apabila jasad kita sudah tiada lagi di dunia yang fana ini.
Lebih parah lagi apabila anak-beranak dan kaum keluarga saling berbalah gara-gara harta tadi.
Kadangkala proses pengagihan harta selepas kematian seseorang itu terpaksa memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan hingga ada waris yang meninggal dunia.
Itulah antara natijah apabila kita tiada kesedaran atau enggan ambil pusing tentang perancangan harta dan pengurusan pusaka secara syariah. Justeru, sudah tiba masanya umat Islam celik dengan perkara tersebut dan tidak memandang remeh perihal pengurusan harta pusaka.
Perkara itu turut diakui Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad (Wasiyyah Shoppe), Ariffin Sabirin. Bahkan, beliau menegaskan, hal itu akan memberikan kesan kepada ekonomi umat Islam dan negara sepertimana pendedahan kerajaan tentang rekod harta pusaka yang tertunggak bernilai RM70 bilion baru-baru ini.
"Kebanyakan mereka adalah terdiri daripada orang Islam. Kesan jangka panjangnya, umat Islam akan rugi kerana apabila ibu bapanya meninggal dan harta mereka tidak diuruskan, anak-anak kena bermula daripada kosong untuk mengumpulkan hartanya. Apabila mereka meninggal dunia, anak-anak mereka juga akan melakukan perkara yang sama.
"Sedangkan harta itu banyak. Harta pusaka sebenarnya adalah sumber modal yang sangat besar. Jika berjaya diselesaikan, ia boleh menyuntik ekonomi dengan begitu signifikan," katanya pada sidang media selepas Majlis Konvensyen Wasiyyah Shoppe 2020 yang diadakan di sebuah hotel di Sepang, Selangor sebentar tadi yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia merangkap Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Pada majlis berkenaan, Wasiyyah Shoppe meraikan para perunding syarikat itu yang memberikan perkhidmatan cemerlang dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat.
Sebanyak 24 kategori pemenang diberikan anugerah pada hari ini termasuk Anugerah Khalifah iaitu penganugerahan terbesar bagi mereka yang mencapai tahap tertinngi dari segi pencapaian jualan dan kepimpinan.
Sementara itu, Mohd Na'im berkata, peri pentingnya pengetahuan tentang perancangan harta dan pengurusan pusaka serta mendapat maklumat berkenaan dengan tepat.
Tambah beliau, kebanyakan masyarakat Islam memahami bahawa pengurusan harta itu tidak penting kerana agama suci itu mempunyai kaedah faraid yang mana sudah ditentukan hak kepada waris masing-masing selepas seseorang itu meninggal dunia.
"Sedangkan Islam itu adil yang mana agama ini ada banyak instrumen dalam pengurusan harta yang lain seperti hibah, wasiat dan sebagainya. Andai kata, kita gagal merancang dengan menggunakan instrumen-instrumen tadi semasa hayat, maka di situlah ALLAH menentukan harta tadi dibahagikan mengikut faraid.
"Ini bermakna, (kaedah) faraid datang apabila kita gagal merancang. Perancangan itu sepatutnya dibuat ketika kita masih hidup. Ia ada dinyatakan dalam al-Quran dan hadis," jelas beliau.
Berdasarkan rekod, Wasiyyah Shoppe yang mula beroperasi pada tahun 2004 telah membantu lebih 60,000 orang Islam dalam merancang harta mereka dan kini mempunyai lebih 2,200 perunding di seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!