Tiada lagi gangguan telekomunikasi di Terowong Menora

Mohd Azlan (dua dari kanan) ketika meninjau inisiatif penambahbaikan liputan telekomunikasi dan kemajuan kerja di Terowong Menora, Lebuhraya Plus arah utara pada Jumaat.
Mohd Azlan (dua dari kanan) ketika meninjau inisiatif penambahbaikan liputan telekomunikasi dan kemajuan kerja di Terowong Menora, Lebuhraya Plus arah utara pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Gangguan liputan talian telekomunikasi di Terowong Menora telah diatasi menerusi pemasangan alat penguat isyarat (repeater) di pintu masuk terowong berkenaan.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, pihaknya menerima rungutan daripada orang ramai sejak tahun lalu mengenai keadaan liputan talian telekomunikasi yang kurang baik apabila memasuki terowong tersebut.

Menurutnya, isu tersebut juga turut dibangkitkan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) serta dibawa ke dalam Jawatankuasa Telekomunikasi Negeri Perak untuk diselesaikan segera.

"Tahun lepas, beberapa sesi perbincangan telah diadakan bersama pemilik menara telekomunikasi yang ada dalam kawasan ini dan telah menggantikan repeater yang rosak di terowong.

"Alhamdulillah hari ini kita turun untuk melihat signal connectivity dalam Terowong Menora ini dan sekitar ini telah pulih. Semua talian syarikat telekomunikasi seperti Maxis, U Mobile dan sebagainya telah ada liputan dalam Terowong Menora," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas meninjau inisiatif penambahbaikan liputan telekomunikasi dan kemajuan kerja di Terowong Menora, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata, dalam masa sama pihaknya sedang berusaha meningkatkan lagi kualiti liputan talian telekomunikasi di sepanjang jajaran Lebuhraya Plus dalam negeri Perak.

Menurutnya, dua kawasan dikenal pasti tidak mempunyai liputan iaitu berhampiran Gua Tempurung dan selepas Terowong Menora arah utara.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pemasangan menara kecil akan dilakukan di kawasan berkenaan bagi membolehkan liputan talian telekomunikasi aktif, namun ia perlu mendapat kebenaran daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memandangkan lokasi yang terhad untuk pembinaan sebarang struktur.

Dalam perkembangan lain, Mohd Azlan berkata, kerajaan negeri akan mencari mekanisme terbaik dalam memastikan akses jalur lebar dapat diterima secara menyeluruh oleh masyarakat Orang Asli.

"Di Perak, kita memantau liputan internet di kampung Orang Asli, terdahulu kita tahu Perdana Menteri dah lancarkan Starlink di Kampung Orang Asli Sungai Tonggang. Kerajaan negeri sedang melihat penggunaan satelit, Starlink tapi kerana kos dan faktor berkaitan tapi ini dalam pemerhatian kerajaan negeri di bawah portfolio saya.

"Tapi kita ambil maklum keresahan tersebut. Saya rasa dalam negeri Perak tak banyak kampung Orang Asli yang tiada connectivity, kebanyakannya ada cuma mungkin lemah (liputan talian) dan sebagainya cuma perlu untuk diperkuatkan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan keterbatasan capaian jalur lebar di kebanyakan perkampungan Orang Asli antara cabaran penyampaian maklumat berhubung jawatan ditawarkan sektor awam kepada golongan itu.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, hanya terdapat anggaran kurang daripada satu peratus masyarakat Orang Asli di seluruh negara terlibat secara langsung dalam sektor awam.

Beliau berkata, peratusan berkenaan amat rendah jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan penjawat awam pada ketika ini yang mencecah lebih 1.6 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!