Bukit Aman gempur operasi parkir haram di Bukit Bintang
KUALA LUMPUR - Empat lokasi parkir haram di sekitar Jalan Bukit Bintang di sini diserbu polis pada Rabu.
Serbuan bermula jam 10 malam itu dijalankan sepasukan Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, Op Parkir Haram itu bertindak menahan tujuh lelaki warga India berusia lingkungan 36 hingga 55 tahun.
"Polis telah merampas wang tunai berjumlah RM445 dipercayai hasil daripada aktiviti parkir haram.
"Kesemua tangkapan ini ditahan di empat lokasi berasingan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan mendapati kegiatan parkir haram ini dipercayai dilakukan sindiket dan mengenakan caj parkir sekitar RM10 hingga RM15 ke atas setiap kenderaan.
Katanya, mereka ini akan melambai tangan ke arah beberapa kenderaan dengan menawarkan parkir sebelum mengambil caj bayaran.
"Kesemua tangkapan telah dibawa ke JSPT Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Selsyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!