Banjir: Warga emas gantung katil elak barangan rosak
SETIU - Seorang warga emas mengambil langkah menggantung setiap katil di dalam rumahnya untuk dijadikan tempat menyimpan barangan berharga agar tidak ditenggelami banjir.
Mek Mani Kadir, 64, berkata, langkah itu terpaksa diambil selepas banjir besar melanda kawasan rumahnya di Kampung Permaisuri, di sini sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, kerja-kerja memasang tali pada bahagian katil bagi membolehkan ia digantung dilakukan dengan bantuan anak-anaknya.
"Katil ini akan digantung pada rangka kayu rumah. Apabila ia sudah kukuh, kita akan letak barangan berharga atau yang mudah rosak di atas katil itu.
"Jarak antara katil dengan lantai lebih 1 meter supaya barang-barang tidak ditenggelami air ketika banjir," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Permaisuri di sini, baru-baru ini.
Mek Mani memberitahu, dia bersyukur kerana banjir melanda pertengahan November lalu menyebabkan barangan yang diletakkan di atas katil tersebut selamat dan tidak rosak.
"Kami berjaya gantung semua katil ini sehari sebelum banjir. Selepas pulang dari PPS (pusat pemindahan sementara), kami dapati semua barangan dalam keadaan elok dan tidak ditenggelami air.
"Buat masa ini saya hanya biarkan sahaja kesemua barangan itu di atas katil kerana bimbang sekiranya berdepan dengan gelombang banjir seterusnya," ujarnya.
Dalam pada itu, Mek Mani berkata, dia turut mengambil inisiatif sendiri dalam menangani masalah banjir termenung yang sering melanda kawasan itu.
"Baru-baru ini saya telah menyewa jengkaut dengan bayaran sebanyak RM150 untuk membina parit sepanjang 50 meter di sekeliling rumah.
"Ia bagi memastikan masalah banjir termenung di kawasan rumah ini yang berlarutan sejak sekian kama dapat ditangani," katanya.
Mek Mani berkata, ketika banjir fasa pertama baru-baru ini air, paras air di dalam rumahnya melebihi satu meter.
"Waktu tu hampir separuh rumah ditenggelami banjir lumpur menyebabkan terpaksa menginap selama empat hari di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!