Imam sebak baca khutbah Jumaat

Anuar (kanan) memasang karpet sebelum solat Jumaat.
Anuar (kanan) memasang karpet sebelum solat Jumaat.
A
A
A

TUMPAT - Imam Tua Masjid As Solihin, Mukim Bendang Pak Yong, Anuar Daud sebak ketika membacakan khutbah di hadapan lebih 300 jemaah selepas dua kali tidak dapat melakukan solat Jumaat akibat banjir gelombang pertama dua minggu lalu.

Khutbah bertajuk Sabar menghadapi bencana itu antara lain mengingatkan jemaah supaya tabah menghadapi ujian ALLAH SWT dan segera bertaubat.

Melalui khutbah itu juga, bencana berkenaan juga untuk menguji iman hambaNya selain teguran kepada manusia yang melampaui batas.

Menurutnya, khutbah berkenaan sepatutnya dibacakan pada solat Jumaat minggu lalu namun tidak dapat dilaksanakan kerana jumlah jemaah tidak mencukupi.

Kata Anuar, walaupun keadaan masjid belum dikemaskan dengan sempurna namun jemaah mula memenuhi ruang solat kira-kira jam 12.15 tengah hari.

"Saya juga benar-benar sebak ketika membacakan doa selepas solat kerana bersyukur akhirnya kami dapat berjemaah pada Jumaat," katanya.

Che Ahmad (depan) bersyukur kerana dapat berjemaah bersama penduduk lain selepas dua kali Jumaat tidak dapat solat Jumaat di masjid itu.
Che Ahmad (depan) bersyukur kerana dapat berjemaah bersama penduduk lain selepas dua kali Jumaat tidak dapat solat Jumaat di masjid itu.

Jelas beliau, solat Jumaat di Masjid As Solihin Mukim Bendang Pak Yong terpaksa diganti dengan solat Zuhur apabila jemaah yang hadir tidak mencukupi 40 orang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sejak 57 tahun lalu, dalam sejarah masjid berkenaan, ruang solat digenangi air sedalam 0.5 meter dan lebih satu meter di pekarangan masjid.

"Banjir kali ini lebih buruk sehingga merosakkan banyak peralatan termasuk almari, al-Quran dan telekung solat ditenggelami banjir," katanya.

Masjid berkenaan menjadi tumpuan jemaah dari lima kampung iaitu Kampung Jejulok, Kampung Derdap, Kampung Pisau Raub, Kampung Bendang Pak Yong dan Kampung Simpangan.

Sementara itu, seorang jemaah, Che Ahmad Ngah, 76, bersyukur kerana dapat berjemaah bersama penduduk lain selepas dua kali Jumaat tidak dapat solat Jumaat di masjid itu.

"Banjir di luar jangka menyebabkan ramai tidak dapat hadir ke masjid dan hanya boleh melakukan solat zuhur berjemaah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!