Najib dakwa seteru politik dipenuhi dendam, eksploitasi sistem keadilan
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa keluarga diraja Arab Saudi mahupun kerajaan negara itu tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menafikan bahawa dana yang diterimanya dalam akaun AmIslamicnya sebenarnya adalah derma.
Najib berkata, walaupun banyak penelitian rapi didedahkan mengenai dana yang diterima serta wujud dakwaan yang mempersoalkan kesahihannya, tidak ada kenyataan rasmi, baik dari Keluarga Diraja mahupun dari kerajaan Arab Saudi, menafikan bahawa dana itu adalah derma daripada Raja Abdullah.
"Ketiadaan penafian ini walaupun dalam menghadapi dakwaan berprofil tinggi sedemikian, menyokong kepercayaan saya bahawa dana itu adalah derma yang sah, ia konsisten dengan cara kerajaan atau monarki biasanya bertindak balas.
"Ada contohnya, apabila Arab Saudi telah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menangani dan menyangkal dakwaan, memetik contoh ketara yang berlaku pada September 2021, apabila dokumen sulit berkaitan serangan pengganas pada 11 September 2001 dikeluarkan," kata Najib.
Bekas perdana menteri itu berkata, sebagai respons kepada dokumen yang didedahkan dan dakwaan berterusan penglibatan Arab Saudi dalam serangan itu, Kedutaan Arab Saudi di Washington D.C, Amerika Syarikat, mengeluarkan kenyataan yang jelas dan langsung, mengalu-alukan ketelusan dalam pendedahan dokumen berkenaan.
“Contoh ini menunjukkan bahawa apabila timbul tuduhan-tuduhan besar, Arab Saudi mengambil langkah rasmi untuk menanganinya secara terbuka dan tanpa ragu-ragu.
"Dalam kes saya, ketiadaan penafian ini adalah penting kerana ia sejajar dengan norma monarki yang ditetapkan untuk menangani tuntutan tidak berasas dan seterusnya menyokong kepercayaan tulen saya bahawa dana itu adalah derma yang sah," katanya.
Ahli politik berusia 71 tahun itu mengambil pendirian membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Kepada soalan tambahan oleh peguam utamanya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Najib berkata walaupun semasa pertemuan peribadinya pada 2017 dengan pemerintah Arab Saudi sekarang dan abang tiri Raja Abdullah, Raja Salman tidak menyebut derma itu walaupun mereka berinteraksi rapat semasa lawatan itu.
“Raja Salman tidak bangkitkan apa-apa mengenai derma Raja Abdullah. Saya juga duduk di dalam kereta dan berswafoto dengannya, ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Dia boleh (menyebut derma jika dia tidak berpuas hati), tetapi dia tidak melakukannya.
"Raja Salman, yang merupakan Penjaga Dua Masjid Suci bahkan mengizinkan saya masuk ke dalam Kaabah dan ke dalam makam Nabi Muhammad SAW, jika dia tidak senang dengan saya, dia tidak akan mengunjungi Malaysia dan tidak akan biarkan Aramco, syarikat minyak Arab Saudi melabur berbilion-bilion di Pengerang, Johor," tambahnya.
Najib berkata, tindakan Raja Salman menunjukkan bahawa beliau sangat gembira dengan Malaysia dan lawatannya ke negara ini merupakan satu pengiktirafan besar terhadap hubungan kukuh dengan Arab Saudi.
"Pada 2016, kepercayaan saya bertambah lagi dengan kehadiran Menteri Luar Arab Saudi ketika itu, Adel Al-Jubair, yang secara terbuka mengesahkan bahawa dana itu adalah derma daripada Arab Saudi. Apa lagi yang boleh saya lakukan secara munasabah untuk mengesahkan perkara ini dengan lebih lanjut?
"Sehingga hari ini, tiada sesiapa yang diberi mandat rasmi oleh Kerajaan Arab Saudi telah menyangkal fakta ini dan saya bergantung kepada semua elemen ini dengan niat baik," Najib mengulangi.
Pada 30 Oktober, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri atas kesemua 25 pertuduhan, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie pada akhir kesnya.
Perbicaraan bersambung 6 Januari depan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!