RCI Batu Puteh bukan balas dendam - PM

Anwar
Anwar
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, bukan bertujuan membalas dendam terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, naratif dendam tidak seharusnya dimainkan dalam isu tersebut terutama oleh pihak pembangkang.

"Tidak timbul pun (soal dendam). Pasukan Petugas Khas (PPK) itu dibuat sebelum saya pun. Itu masa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Perdana Menteri, menterinya (ketika itu) Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Hasil penemuan dia (PPK) lebih teruk lagi. (Jadi) tak usah main (naratif dendam)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Darul Ulum, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya, Presint 11, di sini hari ini.

Pada 8 Oktober 2021, Jemaah Menteri ketika itu bersetuju supaya PPK ditubuhkan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan Batu Puteh.

Anwar menegaskan RCI itu adalah sebagai prinsip mempertahankan kedaulatan negara.

"Ini soal wilayah, mana boleh? Ada ke negara yang mengizinkan mudah begitu serah (wilayah)," katanya.

Semalam, beberapa ahli Parlimen blok pembangkang mendakwa prosedur RCI Batu Puteh bersifat balas dendam.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada Dr Mahathir wajar dikenakan tindakan seperti mana disyorkan dalam RCI, Anwar berkata "saya tak cadang apa-apa. Itu serah kepada Jabatan Peguam Negara." - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!