Kekayaan Musk dianggarkan melebihi AS$400 bilion

Elon Musk
Elon Musk
A
A
A

NEW YORK - Elon Musk menjadi individu pertama dengan anggaran kekayaan melebihi AS$400 bilion, lapor Agensi Berita Jerman dpa yang memetik Forbes dan Bloomberg.

Kekayaan Musk sebahagian besarnya terdiri daripada saham syarikat pengeluar kereta elektrik Tesla dan syarikat aeroangkasa SpaceX.

Majalah Forbes menganggarkan kekayaan Musk sebanyak AS$431.2 bilion pada Khamis, manakala firma perkhidmatan kewangan Bloomberg menganggarkan nilainya sekitar AS$447 bilion.

Sejak pilihan raya presiden AS awal November lalu, kenaikan harga saham Tesla menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kekayaan lelaki berusia 53 tahun itu.

Para pelabur berpendapat bahawa Tesla akan mendapat manfaat daripada hubungan rapat Musk dengan Presiden Terpilih AS, Donald Trump.

Musk menyokong Trump dengan sumbangan berjuta-juta dolar sepanjang kempen pilihan raya dan dijangka memainkan peranan dalam kerajaan Trump bagi menerajui inisiatif penjimatan.

Selain Tesla dan SpaceX, Musk juga memiliki syarikat lain seperti platform dalam talian X, pembangun kecerdasan buatan (AI) xAI, serta Neuralink, yang kini dalam proses membangunkan teknologi implan otak.

Di tangga kedua senarai individu terkaya ialah pengasas Amazon, Jeff Bezos dengan anggaran kekayaan melebihi AS$240 bilion. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!