Mara tegas kutip hutang bantu lebih ramai pelajar, usahawan susah

Asyraf Wajdi (kiri) melawat seorang pelajar cemerlang (tengah) di Kampung Padang Langgar, Kerunai, Gerik, Perak.
Asyraf Wajdi (kiri) melawat seorang pelajar cemerlang (tengah) di Kampung Padang Langgar, Kerunai, Gerik, Perak.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) perlu bertindak tegas dalam mengutip semula hutang pinjaman pendidikan dan usahawannya agar dapat menyalurkan kembali untuk membantu lebih ramai golongan yang kurang berkemampuan.

Justeru, Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta orang ramai agar tidak menuduhnya zalim jika terpaksa mengambil tindakan tegas dan keras bagi mereka yang culas.

Dalam hantaran di Facebooknya, Asyraf Wajdi turut berkongsi satu video lawatannya ke rumah seorang pelajar cemerlang di Kampung Padang Langgar, Kerunai, Gerik, Perak.

Pelajar perempuan itu memperoleh 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan kini sedang dalam persiapan menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Lepas ambil STAM, boleh minta Mara. Nak pergi Jordan ke Mesir?” tanya Asyraf Wajdi kepada pelajar berkenaan.

Pelajar perempuan itu kemudiannya memaklumkan ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang Syariah di Jordan.

“Baguslah belajar pandai-pandai. PPT (peperiksaan pertengahan tahun) mumtaz, cemerlang. Kena kekalkan, kedudukan dalam kelas pun nombor satu.

“Nanti maklum kepada saya apabila dapat keputusan, saya boleh percepatkan untuk pergi (melanjutkan pelajaran) ke Jordan.

Artikel Berkaitan:

“Jadi anak angkat saya, saya bagi (bantuan) bulanan sampai habis (belajar). Paling penting, kena belajar sungguh-sungguh,” jelasnya.

Difahamkan, pelajar berkenaan adalah anak yatim sementara ibunya tidak bekerja manakala kakaknya banyak membantu menyara keluarga.

Mara sebelum ini mendapat perhatian ramai kerana menyerbu rumah seorang selebriti tanah air selepas dia gagal melunaskan hutangnya dalam tempoh tujuh tahun walaupun pelbagai usaha diambil Mara bagi mendapatkan semula wang berkenaan sehingga membawa kes itu ke mahkamah.

Difahamkan, bahagian undang-undang Mara juga dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap selebriti itu dan anaknya yang gagal membayar pinjaman hampir RM1 juta sejak 2017.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!