Batu Puteh: Laporan akhir Pasukan Petugas Khas dipertimbang untuk dinyahklasifikasi
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Laporan akhir Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dipertimbang kepada Peguam Negara untuk dinyahklasifikasi.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat.
"Ini adalah dokumen yang berbeza dengan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang dibentangkan di Parlimen," katanya menerusi sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini.
Ujar beliau, mesyuarat Jemaah Menteri turut dimaklumkan bahawa hasil laporan bagi Pasukan Petugas Khas adalah sama dengan syor yang telah dikemukakan dalam RCI Batu Puteh.
"Ini bermaksud dari satu sudut kedua-dua mendapati perkara yang sama," jelas Fahmi.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, laporan tersebut berkisar hasil siasatan pasukan petugas khas yang telah ditubuh pada 29 Oktober 2021 manakala ia telah dibentang kepada Jemaah Menteri pada 7 Oktober 2022.
"Laporan tersebut telah dimulakan sewaktu zaman pemerintahan atau pentadbiran Perdana Menteri ke-9 (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) yang mana (Ahli Parlimen) Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan), Larut (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) dan Putrajaya (Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin) adalah di kalangan ahli Jemaah Menteri pada ketika itu," katanya.
Tambah beliau, laporan akhir Pasukan Petugas Khas telah mengesyorkan agar pendakwaan dilakukan berdasarkan penyalahgunaan kuasa (misfeasance) oleh seorang pegawai awam.
"Inilah juga apa yang telah disyorkan oleh laporan RCI.
"Jadi untuk Kota Bharu, Larut dan Putrajaya bertindak seolah-olah apa yang disyorkan oleh RCI ini jauh berbeza daripada laporan yang mereka sendiri telah baca sewaktu berada dalam Jemaah Menteri, ini suatu perkara cukup mengganjilkan," katanya sinis.
Beliau berkata, RCI bertujuan untuk mengelakkan perkara tersebut berulang pada masa akan datang.
"Ia bukan bersifat dendam ataupun untuk mengenakan seseorang itu sedemikian rupa apatah lagi bila kedua-dua laporan ini mengesyorkan perkara yang sama.
"Bagi saya ini bukan isu ultra-nasionalis ataupun isu dendam tapi ia adalah melibatkan pengabaian tugas oleh seorang yang sepatutnya bertanggungjawab," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!