Lebih 70 kali pindah PPS, penduduk sudah lali hadap banjir

Ramin menunjukkan paras air banjir di pintu rumahnya di Kampung Seri Gambut, Pekan Nanas di Pontian.
Ramin menunjukkan paras air banjir di pintu rumahnya di Kampung Seri Gambut, Pekan Nanas di Pontian.
A
A
A

PONTIAN - Penduduk di beberapa kampung di sini mengakui sudah lali berdepan banjir apabila kawasan rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat dan air pasang besar terutama pada hujung tahun.

Tinjauan di Kampung Jasa Sepakat dan Kampung Seri Gambut, Pekan Nanas di sini mendapati, rata-rata penduduk sudah bersedia menghadapi kemungkinan banjir susulan fenomena air pasang besar pada minggu hadapan.

Penduduk, Ramin Kassim, 72, berkata, setiap kali tiba musim tengkujuh dan hujan lebat melebihi tiga jam, Sungai Pontian Besar yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah akan melimpah.

Menurutnya, pengalaman berdepan banjir berulang sejak 38 tahun lalu, membuatkan dia sekeluarga lali berdepan bencana itu saban tahun.

“Saya sendiri membuat catatan pada pintu rumah sebagai memperingati kejadian banjir yang pernah berlaku. Kali terakhir pada awal tahun lalu, paras air banjir sekitar 0.5 meter.

"Sementara paras air banjir paling tinggi pada tahun 2001 yang mencecah tiga meter. Ketika itu banjir berpunca dari kepala air di Gunung Pulai menyebabkan rumah saya serta lima rumah lain ditenggelami air," katanya ketika ditemui pada petang Khamis.

Menurut Ramin, sejak berpindah ke Kampung Seri Gambut pada 1986, lebih daripada 70 kali keluarganya terpaksa mengosongkan rumah untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Semua barang seperti perabot diletakkan di rumah atas, manakala di dapur tiada perabot dan peralatan elektrik.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak pernah berlengah untuk pindah ke PPS kerana bimbang soal keselamatan lebih-lebih lagi air banjir akan menutupi jalan ke rumah," katanya.

Seorang lagi, penduduk Zaleha Adam, 64, berkata, rumahnya di Kampung Jasa Sepakat merupakan rumah pertama akan dinaiki air sekiranya hujan lebat dalam tempoh melebihi empat jam.

Zaleha menunjukkan barangan dan dokumen penting diletakkan di tempat tinggi bagi menghadapi banjir di Kampung Jasa Sepakat, Pekan Nanas, di Pontian.
Zaleha menunjukkan barangan dan dokumen penting diletakkan di tempat tinggi bagi menghadapi banjir di Kampung Jasa Sepakat, Pekan Nanas, di Pontian.

Jelasnya, kedudukan rumahnya yang berhampiran dengan tali air serta berada di kawasan rendah menjadi faktor kerap dinaiki air.

"Disebabkan setiap tahun akan dilanda banjir, saya tidak membeli perabot atau peralatan elektrik. Setakat ini, saya sudah simpan dokumen-dokumen penting keluarga di tempat selamat,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kawasan (12) Mukim Pontian, Adam Yusof berkata, pihaknya telah meminta penghuni lima rumah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir.

Katanya, PPS di Sekolah Kebangsaan Melayu Raya juga sudah bersedia dibuka sekiranya berlaku banjir dan mangsa diarah berpindah oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pontian.

“Saya bersama JPKK juga mengambil langkah berjaga-jaga bukan sahaja di Seri Gambut namun beberapa kawasan lain yang berisiko dilanda banjir termasuk di Kampung Melayu Raya dan Kampung Paya Embun,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!