Suami isteri curi tabung derma dipenjara 12 bulan

Nuruddin Hasbullah (depan, tengah) dan SyaidatulNor Syahidra (belakang, tengah) dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.
Nuruddin Hasbullah (depan, tengah) dan SyaidatulNor Syahidra (belakang, tengah) dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Pasangan suami isteri dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat selepas didapati bersalah mencuri dan bersubahat memiliki 54 tabung kutipan derma sejak November lalu.

Majistret, Nor Syaliati Mohd Sobri menjatuhkan hukuman itu terhadap Nuruddin Hasbullah Zainal, 33, dan isterinya, SyaidatulNor Syahidra Firdaus, 35, yang membuat pengakuan bersalah sejurus lima pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, mereka secara bersama-sama didakwa memiliki 21 dan 33 tabung tabung derma pelbagai jenis dan gagal memberikan penjelasan yang memuaskan kepada pihak berkuasa bagaimana tabung itu diperoleh.

Sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK).

Tertuduh turut didakwa bersubahat memiliki tabung derma Madrasah Darul Tolabah dan Huffaz Melaka yang disyaki merupakan harta curi tanpa alasan munasabah.

Bagi kesalahan itu mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 109 KK dan dibaca bersama Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955 yang boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh wanita turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan iaitu bersubahat dengan memiliki tabung madrasah yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 109 KK dibaca bersama Seksyen 411 KK yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Nuruddin Hasbullah dan isterinya, SyaidatulNor Syahidra (belakang) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Masjistret, di sini, pada Jumaat.
Nuruddin Hasbullah dan isterinya, SyaidatulNor Syahidra (belakang) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Masjistret, di sini, pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bilik sebuah rumah dan but kereta jenis Perodua Bezza di Amber Cove Residence di sini kira-kira jam 12.10 tengah malam pada 4 Disember lalu.

Sementara itu, Nuruddin Hasbullah turut mengaku bersalah bagi pertuduhan dengan niat curang disyaki memiliki harta curi tabung derma dari Madrasah Tahfiz Al-Quran Desa Darul Naim Kasih, Sungai Rambai.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kedai menjual buah-buahan di Lorong Pandan, Melaka di sini, kira-kira jam 11.30 malam pada 11 November lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa bawah Seksyen 380 KK.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda bagi kesalahan kedua atau yang kemudian hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Mereka yang diwakili Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Mawardi Zainudin merayu kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman penjara dari tarikh ditangkap iaitu pada 4 Disember lalu dengan alasan mereka telah menggunakan wang simpanan untuk perbelanjaan keluarga termasuk anak berusia 10 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan berulang dilakukan pasangan itu selain sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Mahkamah kemudian mengenakan hukuman penjara 12 bulan bagi kedua-dua tertuduh dari tarikh mereka ditangkap.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!