Tunjuk kad lesen senjata api menyamar polis lakukan samun

Ahmad Sukarno menunjukkan pistol yang dirampas susulan tangkapan kes menyamar polis, di Taman Usahawan Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ahmad Sukarno menunjukkan pistol yang dirampas susulan tangkapan kes menyamar polis, di Taman Usahawan Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dua lelaki ditahan di sebuah rumah di Taman Usahawan Kepong, di sini kerana menyamar sebagai anggota polis dengan menunjukkan kad lesen senjata api bagi melakukan jenayah samun.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita warga Indonesia berusia 40 tahun kira-kira jam 11 malam, Sabtu lalu, mengenai kehadiran dua lelaki yang mengaku sebagai anggota polis.

Katanya, wanita berkenaan berasa curiga sebelum menghubungi Balai Polis Kepong untuk meminta bantuan.

Menyedari panggilan dibuat wanita berkenaan, suspek bertindak merampas telefon bimbit milik mangsa.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kepong membuat serbuan dan menahan dua lelaki tempatan di rumah mangsa pada awal pagi (Ahad).

"Polis merampas kad lesen senjata api milik sebuah syarikat pengawal keselamatan yang digunakan suspek, sepucuk pistol jenis CZ75 serta 10 butir peluru," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan mendapati salah seorang suspek berusia 55 tahun bekerja sebagai pengawal peribadi, manakala rakannya berusia 42 tahun tidak bekerja.

Pistol jenis CZ75 dan 10 butir peluru dirampas polis susulan tangkapan dua suspek menyamar polis di Taman Usahawan Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pistol jenis CZ75 dan 10 butir peluru dirampas polis susulan tangkapan dua suspek menyamar polis di Taman Usahawan Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, ia merupakan kes pertama dilakukan suspek yang mendakwa melakukan jenayah disebabkan masalah kewangan.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua mereka telah direman selama enam hari untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," ujarnya.

Sementara itu, dalam kes berlainan, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) IPD Sentul menahan seorang lelaki berkaitan kes pemerasan wang RM500 terhadap peniaga gerai makanan di Jalan Sentul Pasar di sini Ahad lalu.

Ujarnya, suspek lelaki berusia 25 tahun yang memiliki 15 rekod jenayah dan dadah itu disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

"Siasatan mendapati suspek tidak terlibat dengan kumpulan kongsi gelap dan kegiatannya dilakukan sendirian," ujarnya.

Tegasnya, orang ramai diingatkan untuk mematuhi undang-undang dan bersama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur khususnya kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!