Cubaan rempuh polis bongkar kegiatan curi kabel
KUALA LUMPUR - Tindakan dua kenderaan cuba merempuh anggota polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah membongkar kegiatan curi kabel di Manjalara Kepong dekat sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Kepong telah terserempak dengan kenderaan jenis Ford Ranger dan Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 5.15 pagi pada 4 Disember lalu.
Menurutnya, ketika pemeriksaan hendak dilakukan, kenderaan terbabit terus memecut laju dan mahu melanggar anggota berkenaan.
"Anggota terbabit kemudian telah melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek sebelum suspek meloloskan diri," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, pada 4 hingga 8 Disember, sepasukan polis dari Cawangan Siasatan Khas D9 IPD Sentul telah membuat lima siri serbuan dan berjaya menahan tujuh suspek lelaki berusia 24 sehingga 37 tahun di sekitar Selangor yang disyaki terlibat dalam kes ini.
Menurutnya, polis telah merampas 10 telefon bimbit serta empat kenderaan termasuk dua yang digunakan semasa kejadian terbabit.
"Modus operandi suspek ialah menyamar sebagai pekerja kontrak ketika melakukan kerja mencuri kabel selain menggunakan kenderaan yang disewa bagi mengaburi pihak berkuasa," ujarnya.
Tambah Ahmad Sukarno, geng ini dipercayai telah aktif sejak dua hingga tiga bulan lalu.
"Kesemua suspek didapati positif dadah dan telah direman lima hari untuk siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.
Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan dengan kes ini diminta untuk menyalurkan dengan menghubungi menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!