Larangan aktiviti air di pantai Teluk Batik
LUMUT - Pengunjung pantai Teluk Batik di sini dilarang untuk menjalani aktiviti air berikutan penampakan seekor buaya yang dipercayai tersesat di perairan itu pada Jumaat.
Tinjauan Sinar Harian mendapati pihak perkhidmatan penyelamat telah mengibar bendera merah yang menunjukkan larangan berenang telah diaktifkan.
Pengunjung, Syarifah Athirah Syed Ahmad, 22, berkata, keluarganya terpaksa akur dengan arahan berkenaan demi keselamatan berikutan kehadiran reptilia itu.
"Pelan asal kami sekeluarga menghabiskan cuti dengan berkelah dan bermandi -manda di pantai ini dengan bergerak dari Kuala Kangsar pagi tadi.
"Sampai sahaja tengah hari tadi, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan larangan mandi di pantai.
"Pada awalnya kami kecewa kerana keadaan cuaca baik, air laut pun tenang tetapi dimaklumkan kehadiran reptilia itu, kami akur," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.
Pengusaha bot pisang, Muhammad Amirul Ashraf Jaafar Sidek, 29, berkata, larangan itu sedikit sebanyak akan menjejaskan pendapatannya dalam menyediakan perkhidmatan bot pisang dan pelampung.
"Ikutkan saya sudah ada pelanggan yang tempah untuk menaiki bot pisang pagi ini tetapi dengan arahan diterima melalui aplikasi WhatsApp, tempahan itu terpaksa dibatalkan sehingga dimaklumkan kelak.
"Lebih 10 tahun berniaga, inilah kali pertama dengar ada buaya tidak jauh dari pantai ini. Saya harap larangan ini tidaklah berlarutan lama tambahan esok adalah cuti hujung minggu" katanya.
Sementara itu, jurucakap Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dalam satu kenyataan memaklumkan larangan aktiviti pantai dikuat kuasa sehingga pihak berkuasa yakin dengan situasi semasa sehingga selesai tempoh pemantauan keselamatan.
"Pihak MPM, APM dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak telah menjalankan operasi pemantauan dan pemasangan beberapa perangkap dalam tempoh operasi penangkapan buaya ketika ini.
"Pihak kami memohon agar pengunjung untuk terus kekal mematuhi arahan tiada aktiviti pantai sehingga dimaklumkan kelak," katanya di sini.
Tambah kenyataan itu, aktiviti di taman dan dataran Teluk Batik bagaimanapun kekal beroperasi seperti biasa.
"MPM berharap kejadian ini tidak akan memberikan kesan yg negatif kepada pusat peranginan Teluk Batik.
"MPM akan sentiasa memberikan yang terbaik dalam perkhidmatan di Teluk Batik khususnya dalam meningkatkan industri pelancongan di daerah Manjung," katanya.
Media melaporkan pasukan rondaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerima maklumat daripada satu rakaman video penampakan buaya itu yang berada berdekatan dengan jeti milik syarikat Vale Mineral (Malaysia) Sdn Bhd (Vale) di Teluk Rubiah kira-kira 2.24 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!