Amanah tangguh konvensyen berikutan banjir belum pulih

Antara momen ketika berlangsungnya Konvensyen Amanah Nasional 2023. Gambar fail SINAR HARIAN (Gambar kecil: Muhammad Faiz Fadzil)
Antara momen ketika berlangsungnya Konvensyen Amanah Nasional 2023. Gambar fail SINAR HARIAN (Gambar kecil: Muhammad Faiz Fadzil)
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) menangguhkan Konvensyen Amanah Nasional 2024 yang sepatutnya berlangsung pada 28 dan 29 Disember ini berikutan banjir belum pulih sepenuhnya serta ramalan hujan lebat berterusan dalam waktu terdekat.

Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, konvensyen sayap seperti Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN), Pemuda dan Wanita Muda (WARDA) pada hari berkenaan juga ditunda serentak.

Justeru, menurut beliau, Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah menetapkan tarikh baharu iaitu pada 25 dan 26 Januari 2025 bertempat di KSL Esplanade Hotel Klang.

"Sehubungan dengan ketetapan ini, konvensyen sayap akan diadakan pada 24 Januari di lokasi sama.

"Semua peringkat jentera Amanah diminta untuk membantu operasi bantuan banjir terutamanya pasca banjir di kawasan terjejas dalam usaha mengangkat agenda Rahmah.

"Jawatankuasa pimpinan memohon maaf atas kesulitan dihadapi pemimpin, perwakilan, ahli dan penyokong Amanah serta semua pihak yang terkesan dengan penangguhan ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, Konvensyen Amanah Nasional 2023 diadakan di hotel Wyndham Acmar, Klang dengan menyaksikan Datuk Seri Mohamad Sabu dipilih untuk mengemudi parti tersebut buat kali ketiga.

Menerusi konvensyen berkenaan, majoriti mengakui masih memerlukan sentuhan dan ketokohan 'Abang Mat' sebagai presiden yang disegani ramai untuk menstabilkan parti itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!