Kerja kelindan lori ketika usia 13 tahun sebelum berjaya genggam PhD

Kamarulzaman (empat dari kiri) diraikan oleh kakitangan PPAT selepas memperoleh PhD
Kamarulzaman (empat dari kiri) diraikan oleh kakitangan PPAT selepas memperoleh PhD
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Melakukan kerja sampingan sebagai kelindan lori ketika berusia 13 tahun antara laluan ditempuh oleh seorang lelaki sebelum berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Dr Kamarulzaman Mahmood, 48, berkata, dia terpaksa melakukan kerja tersebut demi menyara keluarga selepas kehilangan bapanya, Mahmood Muda, 38 yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dia berusia 10 tahun pada 1986.

"Selepas pulang sekolah, saya buat kerja sampingan sebagai kelindan lori, saya juga pernah kerja memasang khemah kenduri kahwin sewaktu berumur 14 tahun dan bekerja di restoran sejak usia 14 hingga 18 tahun.

"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika usia 18 tahun saya dapat kerja tetap kerajaan dan bekerja hampir 30 tahun.

"Saya bekerja selama 13 tahun sebagai pegawai awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan hampir 17 tahun bekerja di perpustakaan," katanya ketika berkongsi kisah hidupnya kepada Sinar Harian, di sini pada Jumaat.

Kamarulzaman yang kini menggalas jawatan sebagai Ketua Bahagian Rangkaian Perpustakaan, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) menyambung pengajian pengajian peringkat PhD dalam bidang Sains Sosial dan Tingkahlaku, Fakulti Sains Sosial Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Bapa kepada seorang cahaya mata itu menerima anugerah berkenaan sempena Majlis Idul Ilmu (Istiadat Konvokesyen) ke-16 UniSZA pada November lalu.

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, dia tidak pernah 'bermimpi' untuk melangkah jauh dalam pengajiannya sekali gus berhasrat untuk memberi nilai tambah dan contoh terbaik kepada individu lain terutama golongan muda.

Artikel Berkaitan:

"Pada awalnya saya hanyalah budak kampung yang mendapat tawaran berkhidmat sebagai penjawat awam di Kuala Lumpur ketika berusia 19 tahun.

"Waktu tu tak pernah keluar daripada Kuala Terengganu, hanya fikir nak mencari rezeki serta membantu ibu menyara adik-beradik yang masih kecil.

“Saya tidak pernah mengimpikan untuk menuntut ilmu sehingga ke tahap ini. Hasil saranan dan galakan daripada pegawai serta Ketua Jabatan, saya telah memberanikan diri mencuba untuk mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) secara calon persendirian pada tahun 1998.

Kamarulzaman (berdiri, dua dari kiri) merakam gambar bersama anaknya, Kamarul Danish Adam (kiri), isteri, Zurina Mohamed (duduk, kanan) serta ahli keluarganya ketika Majlis Idul Ilmu (Istiadat Konvokesyen) ke-16 UniSZA November lalu.
Kamarulzaman (berdiri, dua dari kiri) merakam gambar bersama anaknya, Kamarul Danish Adam (kiri), isteri, Zurina Mohamed (duduk, kanan) serta ahli keluarganya ketika Majlis Idul Ilmu (Istiadat Konvokesyen) ke-16 UniSZA November lalu.

"Pada 1999, saya telah ditawarkan Cuti Separuh Gaji bagi mengikuti Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Maklumat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

"Kemudian, saranan daripada Ketua Jabatan (Pengarah Perpustakaan Awam Terengganu) juga telah menginspirasikan saya menyambung pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dengan mendapat hadiah biasiswa Cuti Belajar Bergaji Penuh," ujarnya.

Bercerita lanjut, katanya, sepanjang tempoh pengajian dia banyak meluangkan masa lapang dengan membaca buku.

“Jika diimbas semula, banyak masa saya habiskan di perpustakaan. Ketika saya bekerja di Jabatan Polis dahulu, boleh dikatakan setiap hari saya akan menghabiskan masa rehat selama satu jam semasa makan tengah hari untuk meminjam buku atau mencari buku di rak perpustakaan.

"Apatah lagi selepas saya diterima bekerja sebagai Pustakawan di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, saya menjadi lebih akrab dengan buku.

"Saya harap suatu hari nanti saya dapat menjadi seorang pensyarah supaya saya dapat memberikan saranan serta inspirasi kepada orang lain yang bercita-cita untuk mengubah hidup melalui pencarian ilmu sama seperti saranan yang saya terima dahulu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!