Perhilitan berjaya kesan buaya tembaga di perairan Teluk Batik
LUMUT - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya mengesan seekor buaya dalam rondaan pemantauan yang dijalankan di perairan Teluk Batik di sini pada Jumaat.
Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, buaya tembaga saiz dewasa itu dikesan kira-kira 800 meter dari pantai peranginan Teluk Batik.
"Rondaan pagi tadi staf nampak seekor buaya berkemungkinan merupakan buaya yang sama tular di perairan itu, namun ia terus menghilang.
"Setakat ini kita pantau dahulu dan kita minta orang awam berhati-hati, jangan membuat provokasi dengan baling (barang) ke arah buaya itu.
"Kami menjangkakan haiwan ini akan pulang ke habitat asal kerana berkemungkinan buaya itu tersesat di kawasan pantai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Media melaporkan penduduk dan pengunjung di persekitaran Pantai Teluk Batik diminta berwaspada susulan kehadiran seekor buaya di perairan itu pada Khamis.
Maklumat kehadiran reptilia tersebut diterima menara penyelamat pantai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada jam 1.09 petang.
Kehadiran buaya tersebut sempat dirakam dan videonya tular di media sosial.
Warganet menyifatkan kelibat buaya di perairan tersebut bukan sesuatu yang baru kerana pada 2017, orang ramai pernah merakam reptilia itu di Teluk Rubiah berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!