KOMTAS cemerlang sukan, terima dua penghargaan JAIS
SHAH ALAM – Kompleks Tahfiz Al-Quran dan Sukan Sofiuddin (KOMTAS) terus mencipta kecemerlangan sebagai institusi tahfiz sukan unggul selepas menerima dua penghargaan dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Kebangsaan.
Majlis diadakan bersama Pelancaran 3K & Amal Khair Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Tahun 2024 berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menyaksikan KOMTAS dinobat pemenang Anugerah Sekolah Cemerlang Kokurikulum Tahun 2024.
Lebih membanggakan pelajarnya, Muhammad Zakir Aidil Mohamad Razi turut menerima Anugerah Murid Cemerlang Kokurikulum Tahun 2024 atas pencapaian dalam sukan badminton kategori lelaki.
Mudir Akademi Tahfiz Sukan (ATS) KOMTAS, Mohd Sapidin Amran berkata, pengiktirafan itu bukti usaha berterusan KOMTAS dalam melahirkan generasi Quranik yang kompetitif dan serba boleh.
"Ia juga mendorong kami untuk terus mengorak langkah ke hadapan dengan membina kerjasama lebih luas termasuk dengan badan korporat dan institusi sukan.
"Pencapaian ini merupakan hasil usaha bersama antara pelajar, guru, jurulatih serta sokongan padu ibu bapa dan komuniti," katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu, Eksekutif Pembangunan ATS KOMTAS, Muhamad Fahdli Harun (Coach Fahd) berkata, pengiktirafan ini membuka mata masyarakat terhadap potensi institusi tahfiz memberikan sumbangan dalam pelbagai sektor termasuk sukan.
“Pencapaian ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen semua pihak.
"ATS KOMTAS berazam untuk terus memacu kecemerlangan pelajar melalui pendekatan holistik, menggabungkan elemen akademik, kokurikulum, dan pembangunan sahsiah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!