Tular: Musa Aman bakal TYT Sabah yang baharu?
KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman disebut-sebut sebagai individu yang akan menggalas tanggungjawab sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu.
Berita mengenai perkara itu mula tersebar di media sosial sejak semalam selepas dakwaan nama Musa telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Malah, turut tular surat mengenai Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah yang didakwa pada 17 Disember ini, di Singgahsana Kecil, Istana Negara.
Pada 26 November lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dilapor akan mengemukakan nama calon Yang di-Pertua Negeri Sabah kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau berkata, terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan dan melantik Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah.
Musa, 73, merupakan Ketua Menteri Sabah paling lama bermula pada 2003 hingga 2018.
Sebelum ini, selain Musa, nama yang disebut-disebut untuk mengisi jawatan tersebut adalah bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Nasir Sakaran.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember ini.
Tun Juhar menerima Surat Cara Pelantikan bagi menyambung khidmatnya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah bagi tempoh dua tahun daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Lantikan penggal keempat bagi Tun Juhar sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah berkuat kuasa dari 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2024.
Ia sekali gus menyaksikan beliau memegang jawatan itu lebih 10 tahun dan paling lama sejak dilantik pada 1 Januari 2011. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!